Pelumba elit negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat gangsa acara keirin lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Lee Valley Velopark, Stratford, London semalam.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jerman, Joachim Eiler dan pingat perak milik pelumba dari New Zealand, Eddie Dawkins.

Terdahulu, dalam saringan pusingan pertama, pelumba berusia 28 tahun itu sekadar menduduki tempat ketiga dan memaksa beliau melalui pusingan repechage untuk meraih tempat di separuh akhir.

Beliau menewaskan pelumba Andre Vinokourov (Ukraine), Jacob Schmid (Australia) dan Hersony Canelon (Venezuela) dalam pusingan repechage itu.

Pelumba ranking nombor satu dunia kategori keirin itu kemudian berjaya meraih tempat ke peringkat akhir selepas berada di kedudukan kedua dalam saringan kedua separuh akhir kedua.

Mohd Azizulhasni telahpun melayakkan diri dalam acara keirin ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro selepas berada di kedudukan teratas Asia.

- Bernama

Photo finish of Keirin world final. @AzizulAWANG in third. Definitely in contention for Rio podium. pic.twitter.com/ewShbPrCjo

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) March 6, 2016