Piala AFC: Raksasa Merah azam bangkit lebih gagah
Berdepan wakil dari Singapura - Tampines Rovers FC - skuad Selangor nekad untuk mengutip tiga mata penuh pertama dalam saingan AFC esok.
Ketua Jurulatih The Red Giant, Zainal Abidin Hassan mahu anak buahnya melupakan kekalahan terbaru dan bangkit semula selepas tersingkir pada saingan Piala FA Jumaat lalu.
Menurut beliau, barisan pemain sudah menerima mesej yang disampaikan sekali gus bersedia memperbaiki kelemahan.
"Dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri kita pasti mengharapkan tiga mata penuh dan saya percaya pemain akan melakukan yang terbaik bagi memberi cabaran dalam saingan AFC ini.
"Kita perlu lebih ke depan dalam saingan AFC walaupun mungkin masih ada rasa kecewa selepas tewas 2-1 kepada PDRM," katanya pada sidang media praperlawanan di Kuala Lumpur hari ini.
Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Zainal Abidin menuntut pemain mengelak daripada memberi gol mudah kepada lawan di awal waktu perlawanan.
"Kita tahu kekuatan pasukan Tampinen Rovers dan mereka mencatatkan kemenangan 4-0 menentang kelab dari Bangladesh Sheikh Jamal DcH pada perlawanan pertama.
"Mereka mempunyai jentera serangan yang berbahaya dan kita perlu atasi kerana setiap kesilapan boleh memberi jaringan kepada lawan," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Tampines Rovers V Sundramoorthy berkata, pasukan menyedari kekuatan Selangor dengan barisan pemain tempatan dan import baru.
Bagaimanapun, misi mereka tetap untuk mengutip kemenangan kedua bagi memperkukuh kedudukan dalam kumpulan E.
"Setiap pasukan pasti mahu catat kemenangan, begitu juga kami namun Singapura sedar bermain di tempat lawan bukanlah tugas mudah," katanya.
Terdahulu Selangor sekadar meraih satu mata pada perlawanan pembukaan selepas seri 2-2 bertemu kelab dari Filipina, Ceres FC.

