Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (Yakeb) menegaskan walaupun organisasi itu menyasarkan kegiatan amal namun ia tidak dapat memberi bantuan kepada ahli yang berdepan masalah bersifat peribadi.

Presidennya, Datuk Malek Noor berkata Yakeb hanya diberi tanggungjawab untuk membantu rakan atlet dalam aspek kebajikan umum.

"Yakeb akan bantu ahli dalam aspek kebajikan dan kita tidak mampu menangani masalah-masalah peribadi seperti hutang peribadi, hutang rumah atau kereta.

"Tetapi kalau bekas atlet itu perlukan bantuan seperti pekerjaan, kita boleh tolong.

"Kalau mereka sakit misalnya, kita akan bantu sedikit sebanyak untuk kos rawatan," katanya kepada Malaysiakini , semalam.

Malek yang juga bekas jaguh bina badan bertarang dunia diminta memberi komen mengenai masalah dihadapi Watson Nyambek yang diisytihar muflis baru-baru ini.

Akan adakan perbincangan

Watson yang pernah mengharumkan nama negara kerana kepantasannya berlari di acara 100 meter sebelum itu membuat pinjaman bank bagi menampung kos perubatan ayahnya yang menghidap barah.

Semalam Malaysiakini juga menyiarkan laporan mengenai pandangan seorang lagi bekas atlet kebangsaan Zaki Sadri mengenai isu sama.

Kata Zaki walaupun laporan mengenai Watson itu mungkin memalukan ia sebenarnya mendedahkan realiti dihadapi sesetengah bekas atlet kebangsaan.

Malek mengakui Yakeb mendapati masalah seumpama dihadapi Watson banyak berlaku di kalangan bekas atlet.

"Kita ada dimaklumkan terdapat ahli yang mempunyai masalah peribadi masing-masing, tetapi Yakeb tidak mempunyai kemampuan untuk membantu.

"Kalau hari ini kita tolong jelaskan hutang seseorang, nanti orang lain pula akan minta bantuan sama," katanya.

Bagaimanapun dalam isu Watson, Malek berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk melihat bantuan dalam aspek kebajikan lain bagi meringankan beban atlet tersebut.

Lihat Komen
ADS