Jaringan tunggal melalui sepakan bebas kapten pasukan, Safiq Rahim memberi tiga mata penuh buat skuad Harimau Selatan sekali gus menewaskan Bengaluru FC pada saingan Piala AFC, sebentar tadi.

Turun di gelanggang lawan, JDT yang mempamerkan aksi bertenaga dengan rentak berhati-hati ditentang hebat pasukan tuan rumah.

Bagi Safiq, walaupun gagal meraih kemenangan dengan jaringan besar apa yang lebih penting adalah meraih tiga mata penuh.

"Setiap perlawanan adalah berbeza, kami telah cuba sedaya-upaya dan kita berjaya membawa pulang tiga mata penuh.

"Kita juga mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan pusingan kedua (menentang Bengaluru) selepas ini," katanya selepas perlawan.

Bengaluru tampil dengan corak persembahan agresif begitu menguasai permainan di separuh masa pertama.

Malah, beberapa serangan dan percubaan berbahaya turut dicipta barisan anak buah Ashley Westwood.

Namun, JDT yang turun sebagai pasukan pilihan ternyata tidak mudah mengalah dengan asakan lawan.

Kekuatan benteng pertahanan diterajui Marcos Antonio dan Aidil Safuan harus dipuji dalam usaha mengekang serangan jentera lawan.

Anak didik Mario Gomez juga tidak kurang mencipta peluang dan memujudkan suasana cemas di kawasan gawang gol pasukan dari India itu.

Di minit ke-40, JDT hampir meraih gol pembukaan melalui hantaran Azamuddin Akil, namun gagal disempurnakan Pareyra Diaz.

Separuh masa kedua menyaksikan persembahan seimbang kedua-dua pasukan, namun selepas JDT memperolehi gol di minit ke-54, Bengaluru mula menekan butang kecemasan.

Namun, JDT yang mula bermain dengan taktikal bertahan berjaya mengatasi setiap percaturan serangan tuan rumah.

Keseluruhan aksi di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore itu mempamerkan disiplin kesukanan yang tinggi kedua-dua pasukan dalam saingan berprestij itu.

Dan kemenangan yang berpihak kepada JDT itu sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan H dengan mengutip enam mata.

Pada perlawanan pertama sebelum ini, JDT meraih kemenangan besar menundukkan Ayeyawady FC 8-1 di Larkin.