Kelab yang kini dilihat mempunyai masa depan gelap di EPL, Newcastle, dilaporkan sedang cuba mendapatkan bekas Pengurus Real Madrid, Rafa Benitez sebagai langkah segera mengelak mengalami aib besar.

Menurut sumber pemilik Newcastle sedang mempertimbangkan langkah memecat pengurus sekarang Steve McClaren.

Laman sesawang Sky Sports melaporkan McClaren masih bertugas sebagai pengurus namun wakil kelab itu sudah berkomunikasi dengan ejen Benitez mengenai kemungkinan dia kembali ke kancah saingan bola sepak England.

Ketika ini Benitez tidak menggalas sebarang tugas mengendalikan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Real Madrid pada Januari lalu.

Sumber berkata, Benitez - yang pernah membawa Liverpool mengungguli Liga Juara-juara dalam perlawanan dramatik lebih sedekad lalu - menunjukkan minat menggantikan McClaren.

McClaren bukanlah sembarangan orang. Pernah mewakili England, selepas bersara dia diberi pelbagai tanggungjawab termasuk menjadi pengurus skuad kebangsaan negaranya.

Dia juga diberi kepercayaan mengendalikan kelab Jerman, VfL Wolfsburg pada musim 2010 - 2011 dan FC Twente (Belanda) pada 2012 - 2013.

Selepas sembilan bulan bersama Newcastle belum nampak ada harapan untuk kelab berkenaan keluar dari zon penyingkiran.

Sumber lain pula memaklumkan McClaren sudah bercakap dengan Pengarah Urusan Newcastle Lee Charnley tengah hari semalam.

Kedua-dua mereka sepatutnya bertemu di St James' Park tetapi kemudian ia dibatalkan.

Selepas empat hari McClaren dan pengurusan kelab berdiam diri, pertemuan berkenaan - jika berlaku - adalah yang pertama sejak Newcastle tewas 1-3 kepada Bournemouth.

Ahli Lembaga Pengarah Newcastle bermesyuarat pada Isnin namun McClaren tidak hadir walaupun dia adalah sebahagian daripada badan berkenaan.

Selain Benitez pengurus lain yang disebut-sebut mungkin digaji Newcastle ialah David Moyes yang sebelum ini pernah mengurus Everton dan Manchester United.

Secara umum saingan EPL semakin sampai ke penghujung dengan perlawanan yang belum berlangsung hanya berbaki 10 saja lagi.