Barangkali serik dengan sikap selalu mengabaikan emel, kali ini bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Maria Sharapova, memulakan pagi dengan rutin baru.

Maria membuka emel sejurus selepas bangun, dan teruja apabila mendapati dia 'dihujani' dengan kasih sayang serta simpati.

"Emel pertama yang saya buka adalah daripada kawan karib saya yang jenis sahabat boleh membuat anda senyum atau menangis dengan hanya satu patah perkataan. Dia juga orang yang saya banyak luangkan masa di telefon," katanya di Facebook.

Menurut atlet berusia 29 tahun itu, pagi semalam bukan lagi pagi yang sama seperti pernah dilaluinya.

Tiada yang terlintas di fikirannya ketika itu, kecuali keazaman untuk terus bermain tenis dan berharap ada peluang untuk melakukannya

"Saya harap saya tidak perlu melalui semua ini, tetapi ia memang perlu dilalui," katanya lagi.

Kini kian diperhati, diekori

Maria dikenakan hukuman gantung sementara bagi membolehkan siasatan mengenai pengambilan bahan terlarang oleh Agensi Antidoping Dunia (Wada).

Maria didapati mengambil bahan meldonium yang baru disenaraikan sebagai bahan larangan oleh Wada pada 1 Januari lalu.

Makluman mengenainya dihantar kepada atlet - termasuk Maria - namun tidak semua menyedarinya.

Maria sendiri didakwa terlepas pandang makluman berkenaan kerana sikapnya tidak gemar membaca emel.

Jika didapati bersalah Maria boleh gantung daripada sebarang kejohanan tenis sehingga dua tahun.

Maria mengumumkan perkara itu dalam sidang media semalam.

Kata Maria kini rutin hidupnya akan lebih diperhatikan ekoran penemuan Wada berkenaan.

"Kemudian saya sedar, akan ada banyak kereta dengan cermin gelap mengekori saya, manakala paparazzi akan kembali mengikuti ke mana saya pergi," katanya.

Buat Maria tersenyum

Mengakui jarang melayani Internet, Maria turut tersentuh apabila mendapat seorang rakannya menghantar mesej dengan kata-kata semangat dan memulakan hashtag ‪ #‎IStandWithMaria ‬ dan ‪ #‎LetMariaPlay‬ .

Dia kemudian menghabiskan masa tengah hari membaca komen-komen yang dihantar ke media sosial mengenai nasib yang menimpanya.

"Pada ketika ini saya amat bangga menjadikan anda sebagai peminat.

"Selepas beberapa jam pengumuman anda (peminat) menghujani saya dengan sokongan dan kesetiaan - sesuatu yang saya jangkakan hanya diterima apabila seseorang berada di puncak kerjayanya.

"Biar saya beritahu kata-kata indah anda menyebabkan saya tersenyum,

"Saya mahu bermain lagi dan berharap anda memberi saya peluang melakukannya. Mesej anda amat dihargai dan saya berterima kasih kerananya," kata Maria.