Bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Maria Sharapova mendakwa pengambilan meldonium sebagai punca dia gagal dalam ujian doping ketika kejohanan Terbuka Australia baru-baru ini.

Menurut atlet kelahiran Nyagan di Russia itu, dia mengambil meldonin atas sebab kesihatan sejak 2006.

Peguam Maria, John Haggerty memberitahu bahan berkenaan diambil selepas doktor menjalankan ujian intensif bagi mencari punca sakit belakang yang kerap dialami atlet terbabit.

"Ujian menunjukkan bacaan elektrokardiogram luar biasa dan beberapa tanda diabetes yang mendorong doktor mencadangkan langkah perubatan, termasuk menggunakan meldonium," katanya.

Maria, 28, hari ini mengejutkan ramai apabila mengaku gagal dalam ujian doping dan digantung daripada sebarang pertandingan mulai 12 Mac ini sementara menunggu perkembangan lanjut.

"Saya gagal dalam ujian dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu," katanya.

Bekas juara Grand Slam sebanyak lima kali itu memenangi kejuaraan Wimbledon pada 2004 ketika dia baru berusia 17 tahun.

Ekoran kegagalan ujian itu penaja Maria, Nike menggantung hubungan mereka dengan atlet berkenaan sehingga siasatan mengenainya selesai.

Haggerty berkata Maria mengambil meldonium secara tetap seperti disarankan doktor bagi meningkatkan tahap kesihatannya.

Mungkin setahun dua saja

Agensi Antidoping Dunia (Wada) menyenaraikan meldonium sebagai sebahagian daripada bahan dipantaunya pada 2015 sebelum memasukkan ia ke senarai larangan tahun ini.

Alasan Wasa ialah meldonium "mempunyai bukti digunakan atlet dengan niat meningkatkan prestasi".

"Malangnya ketika Wada menambah senarai bahan terlarang mereka pada 1 Januari tahun ini Maria tidak menyedarinya," kata Haggerty.

Jika didapati bersalah berapa lamakah Marian boleh digantung? Berdasarkan garis panduan Wada dan Program Antidoping Tenis, seseorang atlet itu boleh dihukum sehingga 10 tahun jika terbukti mengambil bahan terlarang.

Namun bekas jurulatih Maria, Jeff Tarango berkata dia tidak fikir pihak berkuasa mengenakan hukuman terlalu lama.

"Saya fikir kurang dari dua tahun, tetapi dengan keadaan kes Maria, mungkin hanya setahun," katanya kepada BBC Radio 5.

Forbes melaporkan Sharapova adalah atlet wanita memperoleh pendapatan tertinggi di dunia sejak 11 tahun lalu.

Pendapatannya daripada penyertaai kejohanan tenis saja berjumlah hampir £26 juta (RM152 juta).

Apakah meldonium?

Ia adalah ubat untuk pesakit angina tetapi ia menjadi pilihan atlet kerana ia membantu meningkatkan daya tahan dan kemampuan badan pulih daripada kelesuan.

Wada mengharamkannya selepas mendapati meldonium mula mengesan bahan itu dalam banyak sampel atlet yang diuji dan mengandungi unsur yang boleh memberi kesan kepada prestasi seseorang.

Dihasilkan di Latvia, meldonium boleh diperolehi tanpa saranan daripada doktor dan berharga murah di kebanyakan negara Eropah Timur namun tidak diluluskan di kebanyakan negara Barat, termasuk AS.

Dipercayai ribuan atlet mengambil meldonium ketika ini dan dijangkakan lebih banyak kes seperti Maria akan dikesan pada masa depan.

#Sharapova was emailed about changes to the banned list, but "didn't click on that link". https://t.co/5W6giNqtFj pic.twitter.com/JJKUDCDle7

— BBC Sport (@BBCSport) March 7, 2016