Sanchez tak lena tidur
Penyerang berbisa Arsenal Alexis Sanchez memberitahu dia tidak akan dapat melelapkan mata bermalam-malam jika dia gagal menjaringkan gol untuk kelabnya.
Pada musim pertama di Arsenal Sanchez menjaringkan 25 gol namun dia berdepan masalah mengekalkan prestasinya kini kesan daripada kecederaan dialami pada pramusim yang memaksa dia direhatkan selama dua bulan.
Gol dijaringkannya ketika bertemu Tottenham Hotspur pada Sabtu lalu adalah yang pertama untuk pemain antarabangsa Chile berkenaan sejak Oktober lalu.
Menurut Sanchez dia berasa kini sudah mampu menyesuaikan diri dengan keperluan tahap kecergasan Arsenal.
"Pada masa sama, saya bukan pemain yang mudah selesa atau berpuas hati dengan keadaan semasa.
"Saya sentiasa mahu memperbaiki keadaan dan memberikan sepenuh tenaga kepada pasukan," katanya.
Sanchez, 27, juga berkata dia seronok menggalas tanggungjawab diberikan pasukannya.
"Cuma apabila gagal menjaringkan gol, saya berasa seperti mengecewakan kelab dan penyokong. Saya rasa sangat bersalah.
"Apabila pulang saya tidak boleh melelapkan mata," katanya.

