Prestasi Perak membimbangkan
Pemain serta pengurusan skuad bola sepak Perak perlu mencari jalan bagi menamatkan penantian untuk meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini.
Bekas pengurus pasukan Perak Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata walaupun dibarisi empat pemain import, prestasi skuad 'The Bos Gaurus' masih hambar.
Raja Ahmad Zainuddin yang bersama skuad Perak selama 10 tahun, berkata lebih membimbangkan peluang bermain di laman sendiri juga disia-siakan pemain sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
"Kita mengambil pemain import untuk membantu meningkatkan prestasi pemain tempatan, tetapi mereka masih tidak menyengat, dan adalah merugikan kita berbelanja besar tapi mereka tidak menyerlah," katanya kepada Bernama di Taiping semalam.
Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super, Perak yang mencatat keputusan seri empat kali dan tewas sekali, berada di tangga kesembilan daripada 12 pasukan, dengan mengumpul empat mata.
Raja Ahmad Zainuddin berkata walaupun Perak layak ke suku akhir Piala FA, ia bukan kayu pengukur kepada kehebatan pasukan itu dalam saingan Liga Super.
Perak akan melayan kunjungan Kuala Lumpur untuk perlawanan suku akhir pertama Piala FA Sabtu ini.
- Bernama

