Skuad Harimau Malaysia mempunyai misi besar memastikan sekurang-kurangnya mengutip satu mata menentang Arab Saudi dalam pertemuan terakhir kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Rabu depan.

Bagi jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, perlawanan di gelanggang lawan itu bukan sekadar menamatkan aksi kumpulan, tetapi penting untuk mengelak bermain dalam peringkat play off ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

"Selain itu, aksi ini penting untuk memulakan saingan antarabangsa 2016 dengan baik selepas beberapa kekalahan besar tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, di Petaling Jaya.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia menduduki tangga keempat Kumpulan A selepas mengutip empat mata daripada tujuh perlawanan, sekali gus hilang peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018, tetapi masih berpeluang melayakkan diri ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut format kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), empat pasukan tempat keempat terbaik daripada lapan kumpulan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Baki empat pasukan tempat keempat dan lapan pasukan tempat kelima terpaksa mengharungi pusingan play off untuk bersaing bagi baki lapan tempat ke pusingan ketiga kelayakan.

Jadual liga kurang membantu

Berikutan itu, Kim Swee mahu pemain negara memberi fokus penuh untuk aksi menentang Arab Saudi bagi memastikan misi utama mereka dapat dipenuhi.

Pada aksi pertama kedua-dua pasukan pada 8 September lepas, Malaysia ketinggalan 1-2 di Stadium Shah Alam sebelum perlawanan dicemari dengan kekecohan penonton pada minit ke-88.

Fifa kemudian memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi selain mendenda FAM serta terpaksa bermain tanpa penyokong untuk satu perlawanan.

Kim Swee yang kurang senang dengan jadual Liga Malaysia yang menyebabkan beliau terpaksa memanggil pemain secara berperingkat untuk sesi latihan skuad kebangsaan, mengakui bukan mudah untuk mencuri mata daripada gergasi Timur Tengah itu.

"Pemain pun masih dalam keletihan dan sedang proses pemulihan kerana telah bermain dalam banyak perlawanan," katanya.

Bagi mendapatkan rentak permainan dan keserasian antara pemain, beliau berkata satu aksi persahabatan selama 45 minit akan diadakan dengan kelab MK Land pada Sabtu ini, sebelum pasukan itu berlepas ke Jeddah pada Ahad.

Selepas ini Macau

Kim Swee turut berharap kemenangan Selangor yang menewaskan kelab dari Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi 4-3 dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Lao Toyota FC dari Laos 3-0 dalam aksi Piala AFC minggu ini, akan meningkatkan keyakinan pemainnya.

"Apabila menang, sudah tentu secara tidak langsung tahap keyakinan akan naik. Ini menunjukkan satu tanda positif kerana kita mampu bersaing di peringkat Asia," katanya.

Sekembalinya ke tanah air pada 25 Mac ini, skuad kendalian Kim Swee itu akan berlepas ke Melaka untuk aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' menentang Macau di Stadium Hang Jebat pada 29 Mac.

Hari ini, empat pemain Selangor - Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham akan menyertai Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Brendan Gan (Kelantan), Joseph Kalang Tie, Yong Kuong Yong dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu) dan Matthew Davies (Pahang) yang melapor diri Isnin lalu.

Tiga pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar, Mohd Farhan Abu Bakar dan Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik dijangka melapor diri pada Sabtu ini, manakala lapan pemain JDT serta pemain Perak, Shahrul Mohd Saad pula akan melaporkan diri kepada Kim Swee pada Ahad ini berikutan terbabit dengan aksi Piala FA.

Pemain JDT terlibat ialah Izham Tarmizi Roslan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Shas, Muhammad Fazly Mazlan, S Chanturu, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah dan S Kunanlan.

- Bernama