Mungkinkah 'sebelah kaki' Westports Malaysia Dragons sudah berada dalam lingkungan kejuaraan Liga Bola Keranjang Asean (ABL)?

Itulah persoalan utama untuk perlawanan akhir keempat - daripada lima - esok selepas wakil Malaysia menumpaskan Singapore Slingers dalam perlawanan ketiga 90-72.

Secara keseluruhan Dragons kini di depan dengan dua kemenangan berbanding satu untuk Slingers.

Dan sekiranya Dragons berjaya memenangi perlawanan keempat Ahad ini, mereka akan dinobatkan sebagai juara ABL buat kali pertama.

Akan tetapi, selagi piala kejuaraan itu belum dalam genggaman Dragons tentu belum dapat meraikannya. Itu pandangan pemain import Dragons, Reginald Johnson.

Johnson berjaya menjaringkan 34 mata dan 13 rebounds setakat ini. Ia mungkin dipengaruhi sorakan "Johnson MVP" daripada penyokong sehingga berjaya melonjakkan lagi semangatnya beraksi malam tadi.

Seramai 250 penyokong Dragons bersama ratusan penyokong Malaysia turut memenuhi OCBC Arena di Singapura yang mempunyai kapasiti 2,500 penonton.

Tiket perlawanan ketiga itu turut habis dijual.

Slinger dilanda isu foul

"Kemenangan ini amat bermakna buat kami dan penyokong Malaysia yang turut serta Singapura.

"Saya pasti perlawanan Ahad ini (esok) akan menjadi lebih sengit. Justeru walaupun Malaysia menang, sekarang bukan masa untuk meraikannya.

"Kita ada satu lagi perlawanan sebelum Dragons mencapai kejuaraan ABL," kata Johnson.

Dalam perlawanan ketiga malam tadi Slingers dilanda masalah foul dalam suku ketiga perlawanan. Ditambah dengan ketiadaan Justin Howard dalam pertahanan dalaman, Dragons mudah menamatkan perlawanan ini sebagai pemenang.

Pemain import Singapura, Xavier Alexander dan Howard hanya mampu menjaringkan sejumlah 18 mata sahaja.

Sementara itu ketua jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia berkata pemain Malaysia berjaya menebus kekalahkan Dragons dalam perlawanan pertama.

Katanya, Slingers bukannya sebuah pasukan yang mudah mengalah dan pasti mereka akan kembali bangkit Ahad ini.

"Saya ingin menyatakan bahawa pemain tempatan kita telah menyumbangkan kawalan pertahanan sangat mantap.

"Pemain seperti Kuek Tian Yuan, Loh Shee Fai and Ma Chee Kheun berikan segalanya untuk memenangi perlawanan akhir. Pemain tempatan Malaysia dalam Dragons adalah antara yang paling gigih saya temui dalam karier saya sebagai jurulatih," katanya.

Westports Malaysia Dragons - Singapore Slingers (90-72)

Posted by Norman Goh on Friday, March 18, 2016