Pasukan Liga Perdana, PKNS FC, hampir pasti ke separuh akhir Piala FA selepas melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas Sime Darby FC pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Matias Nicolas Jadue membuka tirai jaringan untuk PKNS FC pada minit ke-18 sebelum menambah tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Juan Manuel Cobelli (minit ke-54 dan 78') dan Mohd Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke-83.

Juara bertahan Liga Super, JDT pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil sepakan penalti disempurnakan penyerang import dari Argentina, Juan Martin Lucero pada minit ke-18.

Pengadil Mohd Zohri Tajuddin memberikan sepakan penalti berkenaan selepas Lucero dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh ketua pasukan PDRM, Mohd Faizal Muhammad.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Perak menang tipis 1-0 hasil gol sendiri pertahanan Kuala Lumpur, Helmi Remeli pada minit ketujuh.

Untuk rekod, juara tiga kali Piala FA, Kedah, mengalahkan Sabah 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Tiga perlawanan timbal balik Piala FA akan berlangsung pada 1 April ini manakala aksi suku akhir kedua di antara JDT dan PDRM di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin diadakan sehari kemudian.

-Bernama