Laluan mencabar untuk Malaysia di Piala Thomas, Uber
Malaysia dijangka menghadapi saingan sengit di pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan dari 15 hingga 21 Mei ini di Kunshan, China.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melalui laman web rasmi www.bwfbadminton.org, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Korea Selatan, England dan Jerman untuk Piala Thomas.
Malaysia, yang kini di kedudukan keenam dalam ranking pasukan BWF, bagaimanapun perlu berhati-hati dengan pasukan England yang kini berada di kedudukan ke-12 dunia, untuk mengesahkan tempat dalam peringkat kalah mati, kerana hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Manakala Juara bertahan, Jepun diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan utama China.
Dalam saingan Piala Uber, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama 13 kali juara, China yang memenanginya kali terakhir pada tahun 2014 bersama pasukan Denmark dan Sepanyol.
Malaysia yang pernah memenangi lima kejuaraan Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992 namum tidak pernah memenangi Piala Uber sejak ianya diperkenalkan.
Berikut hasil lengkap undian Piala Thomas :
- Kumpulan A: China, Jepun, Perancis, Mexico
- Kumpulan B: Indonesia, India, Thailand, Hong Kong
- Kumpulan C: Korea Selatan, MALAYSIA, England, Jerman
- Kumpulan D: Denmark, Chinese Taipei, New Zealand, Afrika Selatan
Undian Piala Uber :
- Kumpulan A: China, Denmark, Sepanyol, MALAYSIA
- Kumpulan B: Korea Selatan, China Taipei, Mauritius, Amerika Syarikat
- Kumpulan C: Thailand, Indonesia, Bulgaria, Hong Kong
- Kumpulan D: Japan, India, Australia, Jerman
Enam belas pasukan yang layak bagi kedua-dua pusingan akhir Piala Thomas & Piala Uber berdasarkan prestasi mereka dalam kejohanan pasukan benua dan kedudukan pasukan terkini.
- Bernama

