Valentino Rossi berpendapat bahawa rakan sepasukannya Jorge Lorenzo bersifat 'pengecut' kerana teragak-agak untuk meninggalkan Yamaha Movistar di akhir musim ini.

Kenyataan itu dibuat ketika spekulasi mengenai Lorenzo akan berhijrah terus diperkatakan namun dia belum memberikan kata putus mengenainya.

Rossi - pernah menghabiskan masa dua tahun yang sukar bersama Ducati pada 2011 dan 2012 - meramalkan Lorenzo akan kekal bersama Yamaha pada musim depan.

"Untuk bersama Ducati, anda mesti berani, ada kekuatan sebenar. Justeru saya fikir Lorenzo akan tetap kekal bersama Yamaha," katanya.

Rossi sendiri bersetuju melanjutkan kontrak sedia ada untuk dua musim lagi bersama Yamaha.

Walaupun berada dalam pasukan sama, hubungan antara Rossi dan Lorenzo tidaklah seperti sepatutnya.

Kedua-dua mereka sering dilihat bermasalah, sama ada di dalam atau luar litar.

Ditanya mengapa akhirnya Rossi menandatangani kontrak dua tahun lagi bersama Yamaha, dia berkata, ketika ini kedua-dua pihak gembira dengan syarat serta ketetapan yang ada.

"Yamaha gembira, saya gembira. Mereka membuat tawaran terlebih dulu, jadi mengapa saya perlu menolak?" katanya.

Dapat tawaran terbaik

Sementara itu, dalam usaha mempertahankan diri, Lorenzo menegaskan beliau mempunyai lebih banyak pilihan berbanding Rossi.

"Situasi saya berbeza daripada Rossi," pelumba Sepanyol itu memberitahu Movistar.

Kata Lorenzo, sesuai statusnya sebagai juara bertahan dan pencapaian dimilikinya setakat ini dia ternyata berada dalam kedudukan lebih baik berbanding Rossi.

"Saya boleh tunggu (untuk menandatangani kontrak), malah saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pasukan lain," katanya.

Malah kata Lorenzo tawaran yang diterima daripada Yamaha ketika ini dianggap yang terbaik pernah dikemukakan kepadanya.

Namun dia masih mahu menunggu.

Motorsport.com pula bagai mengesahkan kenyataan Lorenzo.

Memetik kenyataan Pengarah Urusan Yamaha Moviestar Lin Jarvis pasukan itu memang membuat "tawaran terbaik" pernah dikemukakan mereka untuk membolehkan Lorenzo kekal.