Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Akademi Hoki T'ganu guna khidmat bekas pemain kebangsaan

Akademi Hoki Terengganu akan menggunakan khidmat bekas pemain hoki kebangsaan Chairil Anuar Abdul Aziz bagi mengemudi akademi itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata langkah itu diambil bagi memantapkan lagi barisan pemain akademi dan Chairil mampu membimbing mereka sepenuh masa.

"Sebelum ini para pemain di akademi tersebut dilatih guru-guru yang berpengalaman namun tidak sepenuh masa...setakat ini Chairil telah bersetuju dan terpulang kepada persatuan bila jurulatih itu akan memulakan sesi latihan.

"Jadi kini kita akan menggunakan khidmat jurulatih sepenuh masa bagi membimbing pasukan pelapis ini untuk berada di tangga yang lebih memuaskan," katanya kepada pemberita selepas meraikan kejayaan pasukan negeri dalam Kejohanan Hoki Bawah 16 tahun Kebangsaan, malam tadi.

Pada majlis itu, Rozi turut menyampaikan insentif kepada para pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.

Dalam kejohanan selama sembilan hari itu bermula 12 Mac lalu di Kuala Lumpur, pasukan Terengganu di bawah bimbingan Mohd Fitri Harun muncul juara setelah berjaya menundukkan pasukan Selangor 2-0 menerusi pukulan penalti.

Rozi berkata ketika ini kira-kira 100 pemain bernaung di bawah akademi yang berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu, terdiri daripada pasukan pelapis dan pemain yang berpotensi diketengahkan dalam kejohanan berprestij.

"Pemain yang berada di akademi ini adalah pelapis untuk pasukan Terengganu dan ia juga platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam sukan hoki.

"Mereka yang berada dalam akademi ini juga berpeluang untuk beraksi bersama Terengganu Hoki Team (THT) mahupun pasukan yang lain," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS