Kapten pasukan bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim berikrar mahu 'membuka buku baru' bagi Harimau Malaysia ketika menentang Arab Saudi awal pagi nanti.

Walaupun menyedari kekuatan lawan, beliau berkata skuad negara tetap mahu membuktikan sesuatu melalui perlawanan terakhir Kumpulan A bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.

"Memang beberapa perlawanan kami lalui sebelum ini berakhir dengan kekecewaan. Tapi kini kami mahu buka buku baharu dan mesti membuktikan sesuatu.

"Kami kini mendapat sentuhan jurulatih baharu, gabungan pemain baharu, harapan baharu dan mengharapkan satu persembahan baharu," katanya pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, semalam.

Safiq yang juga pemain tengah berkata, persembahan menentang pasukan gergasi Asia Barat itu akan dipersembah mengikut kemampuan dan kekuatan mereka sendiri.

"Saya yakin dan percaya kita memiliki kekuatan untuk cuba mengulangi persembahan baik seperti ketika aksi bertemu Arab Saudi di Shah Alam sebelum ini.

"Apa yang penting adalah persembahan di atas padang nanti," jelasnya.

Skuad Harimau Malaysia kini mengumpul empat mata dengan satu kemenangan, sekali seri dan lima kali tewas untuk menghuni tangga keempat kumpulan A, manakala Arab Saudi di tangga teratas dengan 16 mata, berbaki dua perlawanan.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau menjanjikan anak buahnya bakal menghidangkan satu persembahan menarik.

"Kami sedar Arab Saudi pasukan yang baik. Sudah tentu kami perlu bekerja keras dan saya harap kami dapat beraksi lebih baik pada perlawanan esok.

"Bagi saya, semua perlawanan yang kami hadapi tidak perlu ada perkara yang menjadi kerisauan. Setiap perlawanan, kami perlu main dengan kemampuan terbaik yang kami ada," katanya.

Skuad negara perlu memburu kemenangan ke atas Arab Saudi bagi mengelak beraksi di peringkat kalah mati ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.