Beregu badminton campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan misi mengukuhkan kedudukan dalam kelayakan Olimpik dengan mara ke suku akhir Grand Prix Emas Terbuka New Zealand di Auckland, hari ini.

Dalam perlawanan pusingan kedua, juara Kejohanan Asia 2010 itu mengetepikan cabaran Matthew Chau-Gronya Somerville dari Australia 21-16, 18-21, 21-16 dalam masa 45 minit.

Persembahan Peng Soon-Liu Ying pasti sesuatu yang melegakan dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas kekalahan di pusingan pertama, masing-masing di Terbuka Jerman dan Seluruh England baru-baru ini.

Di suku akhir, Peng Soon-Liu Ying akan berdepan pemenang perlawanan antara pasangan Perancis, Ronan Labar-Emilie Lefel dan Hafiz Faisal-Shella Devi Aulia dari Indonesia.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain remaja negara, Soo Teck Zhi melakukan kejutan apabila menyingkirkan pemain pilihan keempat, Hsu Jen Hao dari Taiwan dalam straight set 21-17 dan 21-10 dalam masa 40 minit.

Juara remaja Asia 2013 itu, yang juga pemain pilihan ke-16, akan berdepan dengan pemain China, Shi Yuqi di perlawanan suku akhir esok.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Goh Soon Huat, gagal melepasi pusingan kedua selepas kalah 16-21 dan 15-21 kepada pemain pilihan ketiga, Lee Dong Keun dari Korea Selatan.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu lelaki pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$120,000 (RM504,000) itu.

-Bernama