Singkirkan Slingers, Dragons cipta sejarah
Sukan bola keranjang Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila wakil tunggal negara Westports Malaysia Dragons (Dragons) muncul juara Liga Bola Keranjang Asean (ABL) buat julung kalinya, petang tadi.
Dalam aksi di Stadium Bola Keranjang Malaysia (MABA) di Kuala Lumpur, menyingkirkan Singapore Slingers dalam perlawanan akhir kelima dengan keputusan 77-65.
"Sukar untuk dipercayai. (Pemain) Kami sangat muda, tetapi mereka berusaha keras," kata Ketua Jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia meraikan pencapaian mereka musim ini.
Di suku masa pertama, aksi Dragons bermula perlahan malah Slingers mendahului mata jaringan di awal permainan.
Bagaimanapun, kesalahan yang dicipta pemain wakil negara jiran itu diambil kesempatan oleh anak buah Ariel mengungguli mereka.
Keputusan 16-9 di suku pertama cukup untuk memberi suntikan moral buat lima pemain utama mereka iaitu Matthew Wright, Kuek Tian Yuan, Reggie Johnson, Calvin Godfrey dan Jason Brickman.
Dragons terus garang menjelang suku masa kedua apabila menambah 21 mata berbanding Slinger dengan kutipan 16 mata menjadikan keputusan 37-26.
Kebangkitan lewat hukum Slingers
Namun, masuk suku akhir ketiga memperlihatkan kebangkitan pasukan pelawat apabila mendahului mata dengan kutipan 16 dan 15 mata milik Dragons.
Kedudukan 52-41 di skuku ketiga menambah tekanan bagi kedua-dua pasukan, manakala Slingers yang dibimbing jurulatih, Neo Beng Siang mula mengatur strategi lebih pantas sebaik suku keempat bermula.
Bagaimanapun agak terlewat, malah beberapa kesalahan turut menghukum aksi mereka sekali gus membolehkan Dragons mengatasi dengan mata 25-24.
Wisel penamat dengan kemenangan 77-65 sudah cukup menggembirakan penyokong Dragons yang turut berlari ke tengah gelangang meraikan kejayaan mereka.
Sementara itu, pemain Dragons iaitu Jason Brickman turut dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MPV) pada perlawanan akhir itu, manakala trofi disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

