Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menyifatkan legenda bola sepak Belanda dan Barcelona, Johan Cruyff sebagai tokoh yang hidup selamanya.

Ketika hadir ke majlis memperingati bekas pemain dan jurulatih skuad Blaugrana semalam, Perez sempat menyatakan pengakuan beliau buat Cruyff.

"Ada beberapa orang yang sepatutnya hidup selamanya dan Cruyff salah seorang daripadanya.

"Dia sudah mengubah sejarah Barcelona dan bola sepak dunia. Kenangan tentang Cruyff akan hidup selamanya," kata Perez.

Cruyff meninggal dunia pada Khamis lalu di usia 68 tahun akibat kanser paru-paru.

Así fue la visita de Florentino Pérez al memorial dedicado a Johan Cruyff. #RealMadrid https://t.co/bBNC9Awjy9

— Real Madrid C. F. (@realmadrid) 26 March 2016

Pemergian bekas pemain kebangsaan Belanda itu meninggalkan kesan bukan sahaja kepada keluarganya, malah buat penggiat bola sepak.

Walaupun Cruyff adalah ikon buat pesaing terdekat Madrid, Perez tetap menyimpan rasa hormat kepada pemain yang pernah dinobatkan terbaik dunia tiga kali itu.

Malah, beliau dianggap sebagai pelopor taktikal tiki-taka yang kini digeruni lawan setiap kali berdepan Barcelona.

Sempena pemergian Cruyff, kelab gergasi Sepanyol itu mengadakan memorial khas untuk mengenang tokoh itu di Camp Nou bermula 26 hingga 29 Mac ini.