Ketua jurulatih Macau, Joseph Tam mendedahkan pemainnya terdiri daripada pemain amatur yang bertugas antaranya sebagai guru dan penjawat awam.
Malah kapten pasukan di tangga 195 dunia itu hanya seorang guru, manakala Tam sendiri bertugas sebagai editor kanan di sebuah stesen televisyen di Macau.
Bagaimanapun, Tam tetap melaungkan amaran betapa anak buahnya akan berjuang habis-habisan untuk mengimbangi permainan Malaysia.
"Kami sedar Malaysia bakal menampilkan corak permainan pantas, maka kami akan cuba memperlahankan rentak permainan. Kami akan sentiasa berwaspada terhadap gerakan pemain Malaysia terutama ketua pasukan (Safiq Rahim) dan penyerang (Mohd Amri Yahyah).
"Apa yang penting kepada kami adalah untuk belajar dan menimba pengalaman dari Malaysia agar pasukan kami menjadi mantap pada masa akan datang," kata Tam pada sidang media praperlawanan di Melaka, semalam.
Skuad Harimau Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee bakal melayan kunjungan Macau di Stadium Hang Jebat malam ini dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.
Sementara itu, Ong berkata skuad negara sedang menjalani proses transisi melibatkan pemain senior kepada pemain muda bagi meneruskan legasi bola sepak Malaysia.
Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah pemain senior mampu bekerjasama dan membimbing pemain muda dalam skuad Harimau Malaysia bagi memastikan usaha itu menjadi kenyataan.
"Ini bagi membentuk sebuah pasukan mantap sebagai pelapis kepada pemain senior, beberapa pemain tonggak muda dikenal pasti mampu menjadi watak penting dalam pasukan negara masa hadapan seperti pemain tengah Kelantan, Brendan Gan.
"Jadi prestasi semasa mereka (pemain muda) ini terutama dalam liga amat penting, jika pemain itu (pemain tonggak) seperti Brendan bermain baik di sini, tetapi dalam liga selepas ini tidak bermain dengan baik, mereka tidak akan dipilih," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mengenai perlawanan malam ini, Ong berkata beliau berkemungkinan membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama, berbanding ketika menentang Arab Saudi baru-baru ini.
-Bernama
