Sirkit kriterium berbasikal guna konsep NFDP
Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan sirkit kriterium berbasikal di seluruh negara dengan menggunakan konsep yang sama seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sirkit kriterium yang dinamakan Junior Cycling Malaysia (JCM) adalah bagi menggalakkan penyertaan yang lebih meluas khususnya di peringkat akar umbi.
"Inisiatif ini adalah berdasarkan pelan pembangunan sukan yang telah dilancarkan tahun lalu dan pelaksanaan Program Pembangunan Remaja Sukan Berbasikal ini akan mengguna pakai konsep yang dilaksanakan dalam NFDP," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN di Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Khairy, sirkit berkenaan yang akan bermula pada 9 April ini di MAEPS Serdang, menyasarkan untuk melahirkan sekumpulan atlet remaja secara konsisten bagi diserapkan ke dalam program MSN sedia ada seperti Program Negeri, Program Serantau, Pelapis Kebangsaan dan seterusnya Elit.
"Perlumbaan ini melibatkan penyertaan pelumba seawal bawah sembilan tahun, bagi kategori lelaki dan perempuan...selain itu acara iini tidak hanya melibatkan basikal lumba tetapi juga basikal bmx dan fixie. Ia adalah satu usaha untuk mengenal pasti bakat," katanya.
Katanya seperti juga program NFDP, pelumba ini juga akan dihantar bersaing dalam kejohanan kebangsaan dan juga luar negara.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kementerian merancang membina velodrom tambahan di negara ini, Khairy berkata dalam tempoh empat tahun dari sekarang, Malaysia akan mempunyai empat velodrom.
"Selain velodrom di Nilai, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan menggantikan velodrom di Cheras (yang akan dirobohkan) apabila yang di Nilai siap.
"Kita juga akan membina satu velodrom asas di Terengganu dan memperbaiki velodrom di Perak," katanya.
-Bernama

