Harimau Malaysia gagal atasi 'cikgu' Macau
Atas kertas sudah menang, sebabnya pasukan Macau bukanlah dibarisi pemain profesional seperti mana skuad Harimau Malaysia.
Malah, mereka hanya merupakan pasukan kelas amatur yang dibaris pemain yang bekerja sebagai guru dan penjawat awam.
Bagaimanapun, harapan penyokong bola sepak negara untuk melihat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee masih kempunan selepas seri tanpa jaringan dicabar Macau, sebentar tadi.
Pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat Melaka sebentar tadi, prestasi pasukan negara sudah mengatasi pasukan lawan dalam setiap aspek.
Namun, ketumpulan di bahagian serangan untuk menghasilkan gol masih belum menjadi.
Walaupun menguasi perlawanan seawal sepak mula, Harimau Malaysia dicabar hebat taktikal bertahan diterapkan jurulatih Macau, Tam Loa San.
Tampil lebih agresif pasukan negara dilihat menghantar serang bertali-arus ke kubu pertahanan Macau, tetapi banyak peluang dicipta berakhir dengan sia-sia.
Kelibat penyerang utama seperti Norshahrul Idlan Talahan dan Amri Yahyah gagal menghasilkan sebarang jaringan walaupun posisi tengah berjaya dihidupkan dengan kehadiran Baddrol Bakhtiar, Nazrin Nawi dan Hafiz Kamal.
Peluang dan rembatan kencang Nazrin pada minit ke-37 juga hanya terkena tiang gol sebelum berjaya didakap kemas penjaga gol Macau.
Sementara itu, Macau mengubah sedikit permainan mereka di separuh masa kedua dengan lebih banyak serangan ke kawasan pertahanan Malaysia.
Namun, pemain negara gagal melakukan serangan balas yang sempurna apabila setiap serangan berjaya dinafikan pasukan lawan.
Keputusan 0-0 sehingga wisel penamat itu ternyata cabaran sukar untuk skuad negara mengubah kedudukan ranking dunia seperti yang diharapkan.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-166, manakala Macau di tangga ke-195 dunia.

