Kay Kim: Pengurusan FAM perlu ditukar
Pihak pengurusan dan pentadbiran FAM perlu mengambil tanggungjawab dengan berundur daripada jawatan masing-masing di badan induk bola sepak itu susulan kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia.
Penganalisi sukan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat, sebaiknya perubahan dilakukan di FAM setiap tiga tahun sekali bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa bola sepak.
"Kita mahu mereka yang ada dalam persatuan (FAM) betul-betul mahu bekerja, bukan hanya mahu wang atau melancong ke luar negara.
"Negara perlukan orang yang benar-benar mahu berkhidmat kerana cintakan bola sepak, dengan itu mereka akan buat kerja bersungguh-sunguh. Bukan buat kerana wang ringgit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Skuad Harimau Malaysia yang kini dibimbing Datuk Ong Kim Swee menerima tamparan terbaru selepas sekadar seri tanpa jaringan dicabar pasukan Macau dalam perlawanan persahabatan, kelmarin.
Terdahulu, dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menyaksikan skuad negara sekadar menduduki tangga keempat dengan kutipan empat mata.
Mengulas mengenai perkara itu, Kay Kim berkata, industri bola sepak negara perlu menggunakan 'cara lama' dalam pentadbiran persatuan.
"Kita mahu penggiat dan pemain bola sepak terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan nilai wang sebagai keutamaan.
"Pastinya kita perlu lihat sejarah terdahulu, dari era sebelum 1960 hingga kejayaan kita ke sukan Olimpik 1972. (Kejayaan ketika itu dicapai) walaupun tahap perkembangan zaman ketika itu tidak semoden hari ini.
"Walaupun tewas 3-0 kepada Jerman, kelayakan ke Olimpik 1972 itu tetap menjadi satu kebanggaan dalam sejarah bola sepak negara," katanya.
Pada masa sama, katanya, kegiatan sukan di peringkat sekolah, daerah dan negeri perlu diperhebatkan lagi.
"Kegiatan sukan di sekolah secara menyeluruh sudah tidak menjadi kepentingan, pihak sekolah sekarang hanya pentingkan gred A setiap dalam subjek," katanya.

