Bintang Barcelona, Lionel Messi, bakal memburu gol ke-500 peribadinya dalam saingan La Liga berdepan pesaing utama - Real Madrid di Stadium Camp Nou, esok.
Terdahulu, Messi menjaringkan gol ke-499 ketika mewakili pasukan negaranya, Argentina ketika bertemu Bolivia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan di Stadium Mario Alberto Kempes, Rabu lalu.
Jaringan itu juga merupakan gol ke-50 beliau di peringkat antarabangsa.
Sepanjang musim ini, penyerang berusia 28 tahun itu menjaringkan 37 gol dan jika berjaya melakar gol dalam aksi El Clasico menentang Madrid pastinya menjadi sejarah penting dalam kariernya.
"Satu saat terindah jika berjaya menghasilkan (jaringan) ketika menentang Real Madrid. Tetapi lebih baik jika berjaya mencatat kemenangan untuk melebarkan jurang (mata)," kata Messi seperti dilaporkan media Argentina.
Bagaimanapun, cabaran itu bukan mudah bagi Messi, lebih-lebih lagi selepas melalui perjalanan jauh untuk perlawanan antarabangsa.
Trio barisan depan Barcelona iaitu Messi, Luis Suarez dan Neymar terpaksa menempuh perjalanan berjarak 62,352 kilometer sepanjang liga berehat untuk perlawanan antarabangsa.
Sementara tiga penyerang Madrid iaitu, Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo, mereka hanya melalui perjalanan menjangkaui 882 kilometer.
Bagi Messi, dengan perjalanan panjang yang dihadapinya dan rakan-rakan sepasukan tidak menjanjikan harapan besar menjelang El-Clasico.
"Saya memang tiada masalah fizikal, tetapi kami perlu kembali ke Barcelona dan memikirkan perlawanan El Clasico. Ini satu cabaran dan tuntutan tinggi," katanya.
