Ketika penyokong Barcelona mengharapkan Lionel Messi 'mencetak' jaringan ke-500 peribadinya di Camp Nou, ternyata magis kaki Cristiano Ronaldo lebih bertuah untuk memberi ‎kemenangan kepada Real Madrid awal pagi tadi.

Kekalahan 1-2 kepada musuh ketat Barcelona di gelanggang sendiri itu juga menggagalkan misi anak buah Luis Enrique menghadiahkan kemenangan istiewa mengenang kematian pemain legenda mereka, Johan Cruyff.

Sebelum sepak mula diadakan suasana di stadium Barcelona itu menjadi beremosi sempena upacara memperingati bekas pemain kebangsaan Belanda dan jurulatih Barcelona ‎yang meninggal dunia 24 Mac lalu.

Namun, Ronaldo 'merosakkan' harapan penyokong tuan rumah dengan memastikan Madrid melunaskan dendam ketika mereka tewas 0-4 di Stadium Santiago Bernabeu pada pertemuan pertama La Liga musim ini, November lalu.

Pada aksi 45 minit pertama, tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua kelab gergasi Sepanyol itu walaupu Barcelona dilihat lebih menguasai bola.

Keadaan berubah selepas tandukan Gerard Pique‎ menggegarkan gawang Madrid pada minit ke-56.

11 gagal atasi 10

Tandukan Pique bukanlah terlalu asing bagi pendahulu La Liga‎ itu walaupun gol tersebut memberi jangkaan bahawa La Braugrana pasti menang.

Sekurang-kurangnya, pemain berusia 29 tahun itu bijak mencelah pertahanan lawan dan menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan penjuru untuk menggembirakan penyokong mereka.

Namun, pada minit ke-63 Karim Benzema membantutkan kemaraan pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan dengan menyudahkan hantaran lintang dari kanan gawang Barcelona.

Debaran semakin memuncak, lebih-lebih lagi selepas Sergio Ramos ( gambar ) meninggalkan padang sebaik dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari Luis Suarez dengan terjahan dari belakang.

Terdahulu, Gareth Bale berjaya merobek gawang Barcelona bagaimanapun jaringannya dibatalkan pengadil selepas dia didapati berada di kedudukan ofsaid.

Tanpa Ramos, Madrid tidak menyerah malah selang seminit pemain pertahanan itu keluar Ronaldo mencatatkan nama sebagai hero Los Blancos.

Bagaimanapun kemenangan itu hanya merapatkan sedikit jurang mata ‎kedua-dua pasukan, malah Barcelona masih gah di puncak liga dengan 76 mata berbanding Madrid mengutip 69 mata untuk kekal di tempat ketiga.

Sementara Altetico Madrid berada di tempat kedua dengan kelebihan hanya satu mata mengatasi anak buah Zinedine Zidane.

🎥 Johan Cruyff honoured on an emotional evening at Camp Nou: https://t.co/4oacj74wzM pic.twitter.com/7V0fNqFgZK

— FC Barcelona (@FCBarcelona) April 3, 2016

📸 The tribute to Johan Cruyff in pictures: https://t.co/XR3OArIKC9 pic.twitter.com/9YygT23e2f

— FC Barcelona (@FCBarcelona) April 3, 2016