JDT mahu terus 'membunuh'
Usah bimbang, itulah pesan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai dakwaan JDT membunuh bola sepak Malaysia.
Beliau yang juga pemilik JDT bagaimanapun secara sinis mengakui JDT membunuh bola sepak tanah air.
"Itu sebabnya kami merupakan pasukan pertama di Asia Tenggara membawa nama Malaysia memenangi Piala AFC.
"Kita membunuh bola sepak dan FAM membantu bola sepak Malaysia mendapatkan sumber kewangan dan hanya berminat dalam Piala Suzuki.
"JDT akan terus membunuh," katanya dalam wawancara yang disiarkan di Facebook JDT, hari ini.
Ditanya JDT selalu menang disebabkan mereka pasukan paling kaya di negara ini, Tunku Ismail menafikan perkara itu.
"Felda, Terengganu, Pahang dan Selangor adalah pasukan yang paling kaya di negara ini. Felda adalah yang terkuat kerana ia adalah pasukan kerajaan Persekutuan.
"Mereka perlukan undi, maka Felda adalah yang terkuat dan paling kaya," katanya.
Terdahulu, JDT sekali lagi mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan selepas ketua jurulatihnya, Mario Gomez tampil mengkritik sistem kejurulatihan skuad kebangsaan.
Kenyataan Gomez itu dikeluarkan selepas melihat prestasi pemain JDT merosot sebaik kembali berkhidmat untuk Harimau Malaya.
Pada aksi suku akhir kedua Piala FA Sabtu lalu, JDT membelasah PDRM 5-2, namun Gomez tidak berpuas hati dengan dua gol yang dilepaskan anak buahnya.
Kelab kecil, impian besar
Sementara itu mengulas lanjut mengenai komen-komen negatif mengenai beliau atau JDT di media sosial, TMJ berkata, JDT hanyalah sebuah kelab kecil dengan impian yang besar.
Didakwa JDT selalu mencuri pemain berbakat pasukan lain menurut beliau, ia bukanlah mencuri apabila pemain yang mahu datang ke JDT.
"Benar (JDT tidak dapat melahirkan pemain berbakat). Maka teruskan melahirkan pemain berbakat sebab saya mahu membeli mereka," katanya.

