'Saya bukan terbaik, tapi cuba jadi terbaik'
"Jatuh bukan tanda kalah. Jatuh adalah tanda untuk terus ke depan".
Itulah semangat pelumba negara, Muhamad Adam Norrodin dalam catatannya selepas menamatkan saingan Moto3 di litar Termas de Rio Hondo di Argentina, awal pagi tadi, dengan menolak motosikal sendiri ke garisan penamat.
Tidak seperti rakan senegara Khairul Idham Pawi, yang mencipta sejarah rakyat Malaysia pertama memenangi kejuaraan itu, Adam tidak bernasib baik apabila terjatuh di selekoh terakhir menuju garisan penamat.
Lebih malang, beliau ketika itu sedang berada di kedudukan kedua selepas Khairul dan sedang bersaing dengan pelumba Sepanyol, Jorge Navarro ketika itu.
Walaupun terjatuh, Adam segera bangkit mengambil motosikalnya dan menolak kenderaan itu hingga ke garisan penamat untuk berada di tempat ke-11.
Semangat dan kegigihan Adam itu ternyata mendapat pujian ramai termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Tuhan takkan memberi ujian kalau kita tak mampu memikulnya. Mungkin tuhan beri saya ujian untuk perlumbaan kali ini.
"Saya bukan yang terbaik, tapi saya cuba untuk jadi yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Najib kagum semangat Adam
Adam berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buatnya bagi perlumbaan seterusnya selepas ini.
"Terima kasih sebab sentiasa menyokong," kata remaja berusia 17 tahun yang mewakili SIC Racing Team itu.
Sementara itu, Najib dalam kenyataan di Twitter berkata, beliau kagum dengan semangat Adam.
"Walaupun jatuh ketika bersaing di tempat kedua, tetap bangkit dan tamatkan perlumbaan di tempat ke-11," katanya.
Jatuh bukan tande kalah .jatuh adalah tanda utuk terus kedepan .. tuhan tak kan memberi ujian klu kite x mampu...
Posted by Muhamad Adam Norrodin on Sunday, 3 April 2016

