Pencapaian pelumba Malaysia Khairul Idham Pawi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, awal pagi tadi sememangnya membanggakan banyak pihak.

Namun pujian juga diberikan kepada remaja berusia 17 tahun itu yang turut mengelak daripada acara semburan arak yang biasanya dilakukan sebaik selesai penyampaian hadiah di atas podium.

Susulan itu video reaksi Khairul Idham itu menjadi viral dan dikongsi oleh pengguna laman sosial beragama Islam yang memuji tindakan itu.

Berdasarkan video, ketika cuba disembur oleh pemenang tempat kedua dan ketiga iaitu Jorge Navarro dan Brad Binder, Khairul Idham bertindak meninggalkan podium.

Sebaik arak dibawa Khairul Idham terus lompat turun dari podium.

Bagaimanapun, kelihatan Navarro dan Binder bergurau dengan menyembur arak ke arahnya yang sedang berlari menjauhi pentas.

Sedikit semburan itu terkena di bahagian belakang Khairul Idham.

Bagaimanapun tindakannya dilihat dihormati dan diterima pesaingnya itu, sekali gus acara itu tidak diteruskan sekembalinya beliau ke pentas.

Khairul Idham merupakan anak Malaysia pertama yang mencipta sejarah di kejohanan antarabangsa itu. Beliau mewakili Honda Team Asia.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Cikgu Wana berkata, bergenang air matanya apabila lagu negaraku dimainkan, apatah lagi melihat Khairul Idham berlari ketika arak dipancutkan.

"Tahniah dan syabas, teruskan mengharumkan nama Negara," katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Azreen MJ berkata, tindakan Khairul Idham terpuji kerana menjaga batas sebagai seorang Muslim ketika disembur dengan minum keras.

"Anda lari menyelamatkan diri. Alhamdulillah. Teruskan usahamu di siri litar seterusnya di Catalunya Sepanyol," katanya.

Rasa bergenang air mata apabila lagu Negaraku dimainkan..apatah lagi melihat beliau berlari dan menggelengkan kepala semasa arak dipancutkan..Tahniah dan Syabas dik..Teruskan mengharumkan nama Negara..

Posted by Cikgu Wana on Monday, 4 April 2016