2 gol 2 minit selamatkan Selangor
Kedah berjaya mengikat Selangor dalam persembahan menarik kedua-dua pasukan dengan keputusan seri 2-2, sebentar tadi.
Gol awal pasukan Kedah di minit ke-7 ternyata tidak mematahkan semangat untuk skuad The Red Giant kembali mendahului di separuh masa pertama.
Lebih menarik, Selangor berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan 31 masing-masing melalui R Gopinathan dan Patrick Ronaldinho untuk kedudukan lebih selesa mereka.
Pada perlawanan keenam Liga Super 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Kedah dilihat lebih menguasai di awal permainan.
Bagaimanapun, Selangor dapat mengimbangi semula permainan dan melakukan serangan balas yang membuahkan jaringan penting untuk mereka.
Terdahulu, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memperolehi gol pertama melalui rembatan cantik Syazwan Zainol.
Sementara itu, aksi separuh masa kedua menyaksikan permainan bertambah rancak.
Saling menyerang, peluang seimbang dan turut disiasi dengan beberapa kekasaran kedua-dua pasukan.
Namun malang buat Selangor apabila Kedah dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Raimi Mohd Nor ke atas Sandro da Silva.
Peluang sepakan penalti itu disempurnakan Sandro untuk gol penyamaan Kedah di minit ke-67.
Gol kedua skuad Helang Merah itu menyaksikan mereka lebih bersemangat mengharungi baki masa perlawanan.
Malah mereka kembali tampil mendominasi perlawanan dengan corak permainan lebih agresif untuk memburu gol kemenangan.
Namun, Selangor tetap cekal bertahan sekurang-kurang berjaya menyelamatkan mereka daripada pulang tanpa sebarang mata.
Kelantan, Pulau Pinang, Pahang tersungkur
Sementara itu keputusan lain menyaksikan JDT terus melakar kemenangan selepas menumpaskan Perak 2-1 di Larkin, manakala Kelantan tewas 4-2 kepada T-Team.
Selain itu PDRM berjaya menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Darul Makmur dan Pulau Pinang tersungkur di gelanggang sendiri diatasi Sarawak dengan kesudahan 2-1.

