Kejayaan diraih Antonio Conte sepanjang kariernya membuatkan Chelsea 'jatuh hati' dan memulakan langkah 'melamar' bekas pemain dan jurulatih kebangsaan Itali itu.

Kini dikendalikan pengurus sementara, Chelsea tentu teruja apabila lamaran itu diterima Conte.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskavia berkata, The Blues begitu gembira menanti kedatangan Conte ke Stamford Bridge musim depan.

Menurut Marina, kehebatan Conte, 46, sampai kepada pengetahuan Pengerusi Chelsea, Bruce Buck dan terkesan dengan rekod kejayaan yang dilakar tokoh itu sebelum ini.

"Kami amat gembira berjaya memiliki salah seorang pengurus dihormati dalam dunia bola sepak. Lebih penting, kami mencapai kata putus sebelum musim ini berakhir," katanya dilaporkan laman web rasmi Chelsea.

Disember lalu, Jose Mourinho disingkirkan The Blues selepas prestasi kelab itu begitu merosot dan pada satu ketika berada dalam 10 kelompok terbawah EPL.

Selepas itu Chelsea melantik Guus Hiddink sebagai pengurus sementara bagi mengharungi baki musim ini.

Sementara itu, rekod Conte dilihat bersinar di arena kejurulatihan ketika membimbing kelab divisyen bawah Itali, iaitu Arezzo dan Bari.

Conte berjaya membawa Bari ke liga Serie A pada musim 2009-2010 sebelum meneruskan khidmat bersama kelab Atlanta (2009) dan Siena (2010).

Seterusnya, beliau kembali ke 'rumah keduanya' - Juventus - dan berkhidmat dari 2011 hingga 2014 sebelum melanjutkan karier di peringkat antarabangsa sebagai pengurus Itali.

Conte membuktikan kehebatannya apabila membawa Juventus menjuarai Sirie A tiga kali berturut-turut dan dua gelaran Piala Super Itali.

Malah dia terpilih sebagai penerima anugerah jurulatih terbaik pada 2013.

Bersama skuad kebangsaan pula, Conte membawa Itali ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan kelayakan.

Sementara itu, sebagai pemain Conte bermula dengan kelab Lecce sebelum menghabiskan tempoh 13 tahun sebagai pemain Juventus pada 1991 hingga 2004 sebagai pemain tengah.

Di peringkat antarabangsa pula dia menyarung jersi kebangsaan Itali dari 1994 hingga 2000.