Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengambil tindakan drastik dengan merehatkan Ketua Jurulatih, Jacksen Tiago susulan prestasi merosot skuad Harimau Kumbang.

FAP berkata, pihak pengurusan tertinggi persatuan itu mengadakan satu mesyuarat tergempar hari ini sebelum keputusan tersebut diambil.

"Jawatan Jacksen digantikan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid berkuatkuasa serta-merta dengan persetujuan sebulat suara pengurusan tertinggi.

"Selain itu FAP turut menerima peletakan jawatan Laurence Loh sebagai pengerusi Jawatankuasa Pro FA Pulau Pinang," kata kenyataan tersebut.

Jacksen telah berkhidmat dengan pasukan itu sejak tahun 2014.

Sementara itu, FAP akan memberi surat amaran kepada barisan pemain yang gagal memberikan persembahan memuaskan selepas meneliti laporan berdasarkan perlawanan malam tadi.

Pulau Pinang tewas kepada Sarawak di gelanggang sendiri malam tadi, sekali gus mencatatkan kekalahan ketiga daripada enam perlawanan Liga Super musim ini.

"Pengurus pasukan juga akan berjumpa dengan kesemua pemain untuk memastikan sasaran kedudukan enam terbaik akan terlaksana," tambah kenyataan itu.