Tiada istilah direhatkan, kata Jacksen
Jurulatih pasukan Pulau Pinang yang direhatkan, Jacksen Tiago berkata, beliau menerima secara terbuka tindakan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengambil tindakan drastik dengan merehatkan jawatannya.
Bagaimanapun menurut jurulatih dari Brazil itu, dalam dunia bola sepak sebenarnya tiada istilah direhatkan.
"Ya saya sudah lama sebagai seorang jurulatih, kalau di Malaysia mungkin direhatkan itu perkara biasa.
"Tetapi pada saya hanya dua kata (keputusan) iaitu dikontrak atau ditamatkan kontrak," katanya yang fasih berbahasa Indonesia.
FAP semalam mengumumkan jawatan Jacksen diganti oleh penolong jurulatih skuad Harimau Kumbang,Manzoor Azwira Abdul Wahid berkuatkuasa serta-merta.
Jacksen berkata, sejak menjadi jurulatih Pulau Pinang pada 2014 beliau sudah membuktikan kemampuan sekurang-kurang membawa pasukan ke kancah Liga Super.
"Kita perlu lihat kembali ke belakang iaitu pada 2014 Pulau Pinang berada di Liga Perdana dan sekarang kita bersaing di Liga Super.
"Pada saya sudah menjadi lumrah, ada masa kita di atas dan ada masa kita diuji dengan kegagalan. Buat masa sekarang Pulau Pinang belum mampu mengutip peluang untuk meraih kemenangan.
"Perancangan kita lain, tetapi perancangan tuhan berbeza," katanya.
Sementara itu, buat masa sekarang Jacksen masih menunggu penjelasan dan surat rasmi daripada PAF mengenai keputusan tersebut sebelum membuat perancangan karier selepas ini.

