Malaysia ikat juara bertahan New Zealand
Malaysia beraksi cemerlang pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 dengan mengikat juara bertahan New Zealand 3-3 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi.
Pujian harus diberikan kepada anak buah Stephen Van Huizen terutama penjaga gol Hafizuddin Othman kerana menampilkan persembahan memberangsangkan menghalang New Zealand daripada mencatat kemenangan.
Skuad Malaysia yang terpaksa bekerja keras menyekat gerakan kemas pasukan ranking kelapan dunia itu, bagaimanapun berada di hadapan pada minit ke-15 menerusi Firhan Ashari.
Namun, New Zealand berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nick Wilson pada minit ke-22 untuk kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.
Terikat 1-1, New Zealand terus menggandakan asakan dan menjaringkan gol kedua setelah Nick Wilson berjaya melepasi empat pemain negara sebelum menyumbat masuk bola ke gawang Malaysia.
Walaupun ketinggalan, skuad negara tidak berputus asa dan hampir memalukan pasukan lawan apabila menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan 48, masing-masing oleh Razie Rahim dan Shahril Saabah.
Keceriaan lebih 5,000 penyokong tuan rumah, bagaimanapun tidak bertahan lama apabila New Zealand menyamakan kedudukan pada minit ke-55, selepas enam kali percubaan menerusi pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan Simon Child.
Sementara itu, Van Huizen ternyata berpuas hati dengan keputusan malam ini, kerana anak buahnya berjaya mempamerkan aksi cemerlang menentang New Zealand.
Beliau berkata walaupun pemain negara kekurangan dari segi fizikal, mereka mampu menyaingi pemain New Zealand.
"Usaha, sikap dan watak yang ditunjukkan oleh pemain ialah apa yang saya harapkan daripada pasukan Malaysia. Kami berusaha keras untuk mendapatkan mata walaupun berdepan tekanan...kami berhak mendapatkan satu mata," katanya.
Jadual hari ini:
Australia mln India - 4.05 petang
New Zealand mln Kanada - 6.05 petang
Jepun mln Malaysia - 8.35 malam
-Bernama

