Tiket Leicester lawan Everton RM87,000 sepasang
Berapakah harga yang perlu dibayar pemimai Leicester City untuk menyaksikan perlawanan terakhir mereka di Stadium King Power dalam EPL musim ini?
Selepas jualan secara atas talian habis hanya dalam tempoh 90 minit, ada pihak menawarkan bidaan sehingga lebih £15,000 (RM83,200) untuk sepasang tiket menyaksikan detik bersejarah itu.
Leicester akan melayan pemain Everton di stadium sendiri pada 7 Mei sebelum melengkapkan musim ini dengan perlawanan terakhir menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 15 Mei.
Mengikut perkiraan lazim semasa tiada banyak halangan untuk The Foxes mencipta detik terunggul mereka kali ini dengan menjuarai liga buat kali pertama dalam sejarah.
Tanpa pemain bertaraf lima bintang Leicester kini mendahului kelab lain di EPL dengan tujuh mata meninggalkan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur di tempat kedua.
Diingat jangan ambil kesempatan
Dalam keghairahan ramai untuk menyaksikan detik yang tidak tahu bilakah akan berulang lagi itu, permintaan tiket menjadi amat tinggi dan habis terjual dengan pantas - termasuk disumbangkan oleh aktiviti mengambil untung.
Sebahagian daripada pembeli bukanlah benar-benar mahu berada di stadium berkenaan, sebaliknya mahu menjual semula dengan harga berlipat kali ganda.
Salah seorang pemilik sepasang tiket yang mahu menjualnya semula menawarkan harga £15,738.28 (RM87,295.85) manakala harga paling murah setakat ini ialah £5,200 (RM28,843) sepasang.
Bagi tiket tunggal, harga paling rendah dijual hari ini ialah £3,308.29 (RM18,350.16).
Sementara itu jurucakap kelab itu berkata mereka akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atau menjual semula tiket lebih mahal daripada sepatutnya.
"Penjualan tiket tanpa kebenaran adalah jenayah mengikut undang-undang United Kingdom. Kami berharap peminat membuat aduan kepada pihak berkuasa jika mengesan aktiviti begitu," katanya.
Tiket untuk perlawanan anak buah Claudio Ranieri (
gambar
) menentang Everton itu mula dijual semalam dan habis dalam tempoh satu setengah jam - suatu rekod yang tidak pernah berlaku kepada kelab itu sebelum ini.
Seperti kebanyakan kelab, Leicester memberi keutamaan kepada ahli berdaftar untuk membeli tiket lebih awal.
Sesetengah peminat The Foxes juga kecewa kerana cubaan mereka membeli tiket melalui kuota Everton gagal kerana ia juga habis terjual.
Stadium King Power boleh memuatkan 32,262 orang dan secara purata seramai 32,020 penonton hadir sepanjang musim ini.
Pada musim 2014/2015 - ketika Leicester bergelut untuk mengelak daripada tercicir ke liga bawahan dan terselamat di hujung musim - purata kehadiran penonton ialah 31,693.
Menjelang perlawanan terakhir di gelanggang sendiri - atau perlawanan kedua terakhir secara keseluruhan - Leicester mungkin sudah mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka.
Juga di stadium sama The Foxes akan berdepan West Ham United pada 17 April dan Swansea City pada 24 April.
Pada 1 Mei mereka akan bertandang ke Old Trafford melawan Manchester United sebelum melengkapkan perlawanan terakhir liga di Stamford Bridge.

