Gol minit akhir menyelamatkan Selangor untuk mengutip tiga mata penuh saingan Piala AFC berdepan kelab dari Bangladesh, Sheikh Jamal DhC, sebentar tadi.

Patrick Ronaldinho Wleh tampil menceriakan penyokong The Red Giant pada minit ke-89 selepas masing-masing terikat dengan jaringan 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.

Banyak peluang berjaya diciptakan anak buah Zainal Abidin Hassan, namun mudah disangkal pasukan pelawat.

Malah persembahan Selangor juga dilihat kurang memberangsangkan walaupun Sheikh Jamal turun dengan serba kekurangan.

Mereka hanya mempertaruhkan 14 pemain untuk perlawanan timbal balik peringkat kumpulan E selepas tewas pada perlawanan pertama di Bangladesh Mac lalu.

Bagaimanapun Selangor ternyata sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat walaupun mendominasi perlawanan secara keseluruhan.

Aksi kurang bertenaga, gerakan mudah dibaca lawan dan ketumpulan jentera serangan menghantui pasukan Selangor.

Gol pertama oleh Ahmad Hazwan Bakri di minit ke-16 melegakan penyokong skuad Gergasi Merah untuk mendahului pelawat.

Sayangnya kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Sheikh Jamal Landing Darbo menyamakan kedudukan pada minit ke-35 untuk keputusan 1-1 di separuh masa pertama.

Dua kad merah

Bersambung babak kedua, Selangor mula mengatur kembali permainan mereka, namun malang menimpa mereka apabila pemain tengah Mohd Hafiz Kamal dikenakan kad merah susulan kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-57.

Nasib sama menimpa pemain pelawat, Yeasin Khan apabila dikenakan kad kuning kedua pada minit ke-69 kerana mengasari pemain Selangor.

Beraksi dengan 10 pemain selepas itu menyaksikan kelebihan berpihak kepada tuan rumah walaupun pasukan lawan sesekali cuba membuat serangan balas.

Selepas peluang demi peluang, Patrick muncul sebagai hero Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan mereka menerusi percubaan di kawasan kotak penalti skuad Sheikh Jamal.

Keputusan itu bagaimanapun masih mengekalkan kedudukan Selangor di tangga ketiga Kumpulan dengan kutipan tujuh mata selepas empat perlawanan.