JDT pasukan pertama ke pusingan kedua Piala AFC
Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan pertama dalam Kumpulan H mara ke pusingan kedua Piala AFC selepas menang bergaya 4-1 ke atas wakil Laos, Lao Toyota FC di Stadium Nasional Laos, malam tadi.
Kemenangan keempat berturut-turut itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kedudukan teratas kumpulan dengan kutipan maksimum 12 mata.
Anak buah Mario Gomez dikejutkan dengan jaringan pembukaan pemain pelawat Phatthana Syvilay menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-41.
Mohd Safee Sali menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-47 setelah menyempurnakan sepakan penalti.
Pengadil Kurbanov Charymurat dari Turkmenistan memberikan sepakan penalti tersebut kepada JDT setelah pemain sayapnya, Mohd Amri Yahyah dijatuhkan pemain pertahanan tuan rumah di dalam kotak penalti.
Pemain pertahanan JDT, Mohd Fadhli Shas menggandakan kedudukan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-65 setelah memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan pasukan tuan rumah.
Mohd Amri menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-77 menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti pasukan lawan yang tepat menerjah penjuru kanan pasukan Lao Toyota FC.
Penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang dimasukkan pada awal babak kedua perlawanan, memastikan tiga mata penuh menjadi milik JDT menerusi percubaan solo pada minit ke-82.
JDT akan berdepan wakil Myanmar, Ayeyawady United pada aksi kelima Kumpulan H di Pusat Latihan Belia, Yangon, Myanmar pada 27 April ini.
-Bernama

