Selepas melontarkan cadangan untuk mengadakan perbahasan secara langsung bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy jamaluddin Abu Bakar, wakil FAM beberapa individu lain, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa tidak sabar menanti detik itu.

"Saya tidak sabar menanti berlangsungnya perbincangan secara terbuka yang akan dilakukan dihadapan semua penyokong bola sepak Malaysia.

"Bola sepak adalah milik rakyat dan mereka mempunyai hak untuk mengambil tahu tentang situasi-situasi yang dihadapi sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook lewat malam tadi.

Selasa lalu, Tunku Ismail mencabar Khairy berbahas mengenai prestasi bola sepak negara dan tanggungjawab terhadap sukan nombor satu itu.

Selain Khairy dan Wakil FAM, beliau turut mempelawa ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B Sathianathan turut serta dalam sesi perbahasan itu.

Sementara itu, Khairy dalam sidang beliau semalam menyatakan persetujuan untuk menyahut cabaran tersebut.

Tunku Ismail berkata, beliau amat menghargai sekiranya mereka boleh membenarkan ramai penyokong bola sepak turut hadir.

"(Ini) supaya penyokong boleh bertanyakan secara terbuka mengenai apa-apa soalan yang mereka mahu tanyakan," jelasnya.

Selain Khairy, Sathianathan turut menyatakan kesanggupan beliau untuk memenuhi cadangan Tunku Ismail dalam usaha ke arah mengembalikan maruah bola sepak negara.

Skuad bola sepak kebangsaan kini menerima tamparan hebat selepas kejatuhan ranking ke tangga 174 dunia, baru-baru ini.