FAM bersedia menerima cadangan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengadakan‎ sesi perbahasan mengenai prestasi bola sepak negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau bagaimanapun beranggapan cadangan Tunku Ismail itu ‎berbentuk perbincangan bukan debat.

"Saya tak fikir maksud Tunku Ismail untuk berdebat mencari siapa salah siapa benar.

"FAM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak mengenai sukan bola sepak," katanya pada sidang media bulan FAM dan Skuad Kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya Sebentar tadi.

Hamidin berkata, beliau juga tidak bersetuju perbincangan itu diadakan secara langsung melalui siaran televisyen.

‎"Ini kerana perbincangan itu perlu mengikut mekanisme terbaik untuk menaikkan bola sepak negara.

"Secara peribadinya saya tak pandai berdebat. Tapi saya rasa cadangan Tunku Ismail itu lebih kepada perbincangan," katanya.

‎Selasa lalu, Tunku Ismail mencabar Khairy berbahas mengenai prestasi bola sepak negara dan tanggungjawab terhadap sukan nombor satu itu.

Melalui penelitian beliau, Hamidin berkata, ‎kenyataan yang dikeluarkan pemilik JDT itu telah disalah tafsir untuk mengadakan debat.

"Bila saya baca semua kenyataan beliau, saya rasa beliau inginkan satu perbincangan untuk semua pihak duduk bersama termasuk FAM untuk mencari jalan membantu pasukan kebangsaan yang diperkatakan.

"Jadi kerana saya memikirkan debat kalau tak betul dia punyai visi dan misi takkan mencapai tujuan," jelasnya.

Kim Swee sama pendapat

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau juga mempunyai pendapat yang sama dengan Hamidin.

‎"Saya percaya bukan maksud TMJ untuk mengadakan debat, debat ini untuk mencari kepastian dan kesalahan. Saya percaya beliau inginkan perbincangan.

"Sama juga dengan FAM, perbincangan ini penting terutamanya dengan apa yang dimaksudkan dengan pembangunan akar umbi.

"Yang penting input, sama ada (perbincangan) terbuka atau tertutup. Semua pihak perlu beri kerjasama dan secara jujur untuk membangunkan bola sepak kita," katanya.