Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Selepas dicabar pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semua pihak terutama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan kesediaan untuk berbahas mengenai prestasi sukan bola sepak negara.

Malah Khairy dalam kenyataan sebelum ini menegaskan beliau sedia berbincang sama ada secara terbuka ataupun tertutup.

Kesanggupan Khairy itu juga sekali gus dilihat mengambil tanggungjawab sebagai menteri yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal sukan di negara ini.

Sementara FAM sebagai badan induk bola sepak negara pula lebih memilih untuk mengadakan perbincangan secara tertutup tanpa melibatkan perdebatan.

Justeru, persoalan yang pastinya bermain di minda peminat bola sepak tempatan kini adalah sama ada cadangan itu akan diteruskan atau sebaliknya?

Barangkali semua pihak sedang menunggu kenyataan lanjut Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemangku Sultan Johor berhubung perkara itu.

Tunku Ismail sebelum ini juga berharap supaya perbahasan tersebut disiarankan secara langsung melalui stesen televisyen berbayar, Astro.

Bagaimanapun pihak syarikat penyiaran tersebut dan stesen penyiaran lain setakat ini tiada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kesudian mereka untuk menjadi hos program tersebut.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pengurusan Astro berhubung perkara tersebut.

Terdahulu TMJ mencadangkan agar perbahasan itu berkisar mengenai tanggungjawab terhadap prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun lebih penting juga untuk melihat hasil perbincangan itu adakah akan membawa kesan positif terhadap perkembangan bola sepak Malaysia.

Dan pastinya penyokong bola sepak negara mahu melihat pelaksanaan dan tindakan segera dapat dilakukan selepas perbincangan berlangsung.

Perkara yang mungkin diberi tumpuan dalam perbincangan yang dianggap berprofil tinggi itu antaranya, prestasi dan kualiti pemain, pelan pembangunan bola sepak termasuk pembangunan akar umbi, tanggungjawab dan peranan FAM, ketelusan, hak penyiaran dan isu kejurulatihan.

Kejayaan yang dilakar pasukan JDT melalui idea dan kesungguhan Tunku Ismail pastinya diharap dapat dikongsi dengan pihak berkenaan dalam usaha mengubah lanskap bola sepak tanah air ke arah lebih positif.

JDT pada tahun lalu berjaya muncul sebagai juara Piala AFC sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.

Sementara itu, Malaysia kini berada di ranking 174 dunia - juga rekod terburuk dialami skuad Harimau Malaysia yang kini dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS