Mendiang Datuk Seri Paul Mony Samuel telah meletakkan tanda aras tinggi dalam pentadbiran bola sepak negara ketika menjawat tugas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Datuk Dell Akbar Khan, yang menggantikan mendiang yang memegang jawatan itu paling lama di FAM, berkata daripada sudut pentadbiran bola sepak, mendiang adalah tokoh terbaik di rantau ini ketika memegang tugas tersebut.

"Mendiang meletakkan standard yang begitu tinggi, jadi bukan mudah apabila mengambil tugas daripadanya.

"Namun daripada perspektif lain, ia menjadikan tugas lebih mudah kerana semuanya sudah teratur dan anda hanya perlu meneruskannya.

"Saya sering juga menghubunginya untuk mendapatkan nasihat serta arah tuju tugas khususnya dalam tempoh beberapa bulan pertama saya mengambil tugas itu.

"Mendiang juga meninggalkan ramai petugas yang berkemampuan dan saya sangat bertuah mengambil tugas daripada orang yang sudah mengatur semuanya dengan baik," katanya kepada Bernama .

Mendiang, 71, yang juga bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu lalu, selepas menghidap penyakit Parkinson.

Beliau yang dilahirkan pada 8 Ogos di Kuala Ketil, Kedah, menjadi setiausaha agung FAM dari 1984 hingga 2000.

Mendiang memegang jawatan sama di AFC dari 2007 hingga 2009 manakala di AFF, beliau menjawat tugas itu dari 2010 hingga 2013 selain berada dalam Panel Pengajar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (Organisasi dan Petadbiran).

Sementara itu, Christopher Raj, yang bertugas di bawah mendiang sebagai pegawai media pertama di FAM, menganggap beliau adalah ketua yang mempunyai kemampuan melihat cabaran yang mendatang selain mahu berkongsi pengetahuan.

"Saya bertugas dengannya hampir 10 tahun iaitu dari 1993 hingga 2003 dan beliau adalah ketua yang hebat. Beliau bekerja tujuh hari seminggu dan kerana itu, kami juga harus datang tujuh hari seminggu.

"Beliau turut ingat semua tarikh lahir kakitangan serta jurulatih dan akan menghantar kad ucapan setiap tahun. Kejohanan Piala Tiger dan Liga Semi Pro adalah ideanya, " kata Christopher yang kini memiliki sebuah firma perunding acara.

Mendiang pernah diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada 2007 serta Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AFF tahun lepas.

AFC dan FIFA turut mengucapkan takziah menerusi laman sesawang masing-masing manakala AFC turut akan mengadakan tafakur seminit dalam semua perlawanan Liga Juara-juara AFC pada 19 dan 20 April ini.

Mendiang disemadikan di Subang Lutheran Garden hari ini. Mendiang meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Kristen Paul dan anak lelaki, Andrew Paul.

- Bernama