Marseille gantung serta-merta pengurus
Olympique de Marseille hari ini menggantung tugas pengurus kelab itu Michel ketika skuad berkenaan bergelut dengan pelbagai masalah semasa serta prestasi tidak memuaskan.
Keputusan itu diambil ketika spekulasi mengenai nasib bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu terus diperkatakan.
Menurut kenyataan Marseille, Michel terpaksa diketepikan berdasarkan kelakuannya, "terutama tiga minggu terakhir" ini.
"Olympique de Marseille menggantung tugas beliau serta-merta," kata kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.
Bekas juara Eropah itu kini berada di tempat ke-15 Ligue 1 Perancis dengan 40 mata daripada 34 perlawanan. Mereka mencatat hanya lapan kemenangan dan 16 seri, manakala selebihnya kalah.
Kenyataan itu menyebut tempat Michel akan diisi oleh pembantunya Franck Passi sehingga musim kali ini berakhir.
"Passi akan dibantu legenda Marseille, Basile Boli, yang sebelum ini dilantik sebagai duta kelab dan kini bertugas sebagai penyelaras sukan," katanya.
Bali menjaringkan gol kemenangan kelab itu dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara menentang AC Milan pada 1993.
Ia satu-satunya kejayaan dicatat Marseille dalam saingan elit peringkat Eropah.
Michel pernah bermain untuk Real Madrid dan Sepanyol, dilantik mengemudi Marseille pada Ogos tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Marcelo Bielsa yang meletak jawatan selepas kelab itu kalah 0-1 kepada Caen di perlawanan pembukaan musim.
Bagaimanapun Michel gagal mengubah nasib Marseille dan kekalahan 1-2 kepada Monaco pada Ahad lalu menyebabkan mereka hanya diselamatkan kelebihan enam mata dari zon penyingkiran dengan empat lagi baki perlawanan.
Mereka melalui 10 perlawanan tanpa kemenangan dan tumpas 14 kali di gelanggang sendiri di Stade Velodrome - suatu rekod baru untuk Marseille.

