Pasukan Melaka United bangkit dari ketinggalan dalam masa tiga minit untuk kekal di persada Liga Perdana dengan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pencabar utama Kuala Lumpur.

Pasukan pelawat yang dikenali dengan gelaran 'The City Boys' itu mengejutkan tuan rumah seawal minit pertama menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Anselmo Arruda da Silva.

Namun pasukan Sang Kancil hanya memerlukan tiga minit untuk menggutip tiga mata penuh hasil jaringan penyerang import dari Montenegrin, Ilija Spasojevic pada minit ke-27 dan Jasmir Mehat pada minit ke-30.

Menerusi kemenangan itu, Melaka United yang sebelum ini menduduki tangga teratas liga dengan hanya melalui kelebihan jaringan berbanding Kuala Lumpur, kini meningkatkan jurang dengan memperoleh 21 mata selepas sembilan perlawanan manakala Kuala Lumpur berada di tempat ketiga walaupun berkongsi 18 mata dengan Negeri Sembilan yang mempunyai kelebihan jaringan.

Negeri Sembilan berjaya melonjak ke tangga kedua hasil usaha trio Australia untuk menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi menerusi jaringan Alexander Moreton Smith pada minit ke-37, sebelum rakan senegaranya Taylor Francis Regan menambahkan jaringan selepas dua minit kemudian.

Penyerang import dari Liberia, Edward Junior Wilson memberikan harapan buat pasukan Singa Utara dengan merapatkan jurang dua minit sebelum babak pertama berakhir namun, seorang lagi pemain import dari Australia, Joel Chianese Joseph mengesahkan kemenangan buat pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-68.

Perlawanan tersebut terpaksa diberhentikan selama 32 minit selepas sebuah lampu limpah stadium tidak berfungsi pada minit ke-13.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, jaringan dua penyerang import dari Argentina, memberi kemenangan 3-0 kepada PKNS FC ke atas jirannya UiTM FC untuk melonjak ke tempat keempat liga.

Dua gol pertama skuad Semut Merah dijaringkan oleh Juan Manuel Cobelli pada minit ke-52 dan ke-62 sebelum Gabby Guerra menambahkan keperitan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-67.

Sementara itu pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu menerusi jaringan Muhammad Hafiy Haikal Ismail pada minit ke-31.

Pasukan Kuantan FA pula menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menang 4-2 ke atas Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur.

Jaringan bagi skuad yang mendapat jolokan 'The Seagulls' itu diperoleh menerusi Abdul Malik Mat Ariff pada minit pertama dan ke-68, Mohd Fiqri Abdullah pada minit ke-13 dan pemain tengah dari Serbia, Srdjan Vidakovic pada minit ke-82.

Pasukan Sime Darby pula merapatkan jurang menerusi penyerang import dari Crotia, Mateo Roskam pada minit ke-12 dan pemain import dari Ivory Coast, Frederic Pooda pada minit ke-74.

Pasukan DRB Hicom pula membenam pasukan tercorot liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0 di Stadium Proton, Tanjung Malim.

Empat gol DRB Hicom diperoleh menerusi Muhammad Nazri Mohd Kamal pada minit kedua, penyerang import dari Crotia, Ivan Babic yang melengkapkan penalti pada minit kesembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-15 dan penyerang import dari Ghana, Godwin Antwi Birago pada minit ke-34.

-Bernama