Harapan memang menggunung, masalahnya anak buah Tan Cheng Hoe itulah yang tidak konsisten dan membimbangkan penyokong skuad Kedah.

Kemudian luka akibat tewas 1-4 kepada T-Team Rabu lalu masih segar terasa dan jika tidak kena gayanya pasti merencatkan laluan Kedah di kancah Liga Super.

Dalam keadaan begitulah Helang Merah perlu menerima kunjungan skuad gergasi dari selatan, JDT. Isunya - dapatkan sang helang mencengkam pak belang?

Pastinya penyokong kedua-dua pasukan mahukan persembahan lebih mantap, permainan cantik, penguasaan perlawanan dan paling penting - menang.

Sebagai perlawanan tumpuan, masihkah akan kedengaran alasan seperti keletihan atau pemain kurang cergas disandarkan sebagai alasan kekalahan?

Mampukah Kedah sekali lagi menyambut wisel penamat pengadil malam ini dengan kemenangan di gelanggang sendiri seperti aksi separuh akhir pertama Piala FA 16 April lalu?

Prestasi pemain import diperhati

Tidak mudah nampaknya. Mendepani kemaraan Harimau Selatan yang kini berazam untuk mendahului liga bakal memberi keletihan panjang buat anak buah Cheng Hoe.

Cheng Hoe sebelum ini dilaporkan anak didiknya terpaksa melalui jadual yang padat dan faktor itu antara punca mereka tewas kepada T-Team dengan jaringan besar.

Seperti biasa, sandaran kepada pemain import kini bakal diberi tumpuan. Untuk Kedah kelibat Liridon Krasniqi, Carlos Kahe, Bang Seung Hwan akan diukur untuk melihat kesesuaian mereka untuk terus berada dalam skuad selepas musim perpindahan pemain Jun nanti.

Kedah sebenarnya masih belum kental di bahagian pertahanan dan itulah kelemahan mereka sejak musim lalu.

Selain itu, kemampuan penjaga gol Mohd Farhan Abu Bakar juga mudah goyang jika diasak lawan.

JDT bersungguh-sungguh

Mungkin mereka perlu berwaspada dengan mendominasi penguasaan bola berbanding lawan dan tidak lalai ketika JDT mengatur kebijaksaan mereka melalui serangan balas.

Larian Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero jarang mengecewakan penyokong JDT.

JDT juga mahu tiga mata penuh bagi memastikan mereka terus gah di barisan depan liga walaupun kini ketinggalan satu mata oleh pendahulu - Felda United.

Selepas tewas buat kali pertama pada musim ini kepada Kedah, anak buah Mario Gomez juga dilihat akan bersungguh-sungguh mempertahankan rekod tanpa kalah di kancah Liga Super pula.

JDT sudah berpesta gol membenam PDRM di gelanggang sendiri Rabu lalu sekali gus disuntik semangat positif sebagai bekalan perlawanan malam ini.

Turut berangsung malam ini ialah perlawanan Kelantan menanti kunjungan Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Selangor berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka berdepan PDRM dan Sarawak dicabar Pahang di Stadium Negeri, Kuching.

Apa pun keputusan malam ini, ia boleh menjadi bekakan kepada kita untuk berborak lagi esok.