Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berharap jawatan beliau sebagai peneraju badan induk bola sepak negeri itu daoat diambil alih oleh pemimpin PAS.

Beliau berkata, berikutan perkhidmatan exco Kafa akan tamat tahun ini beliau menegaskan hasratnya untuk mengundurkan diri sebagai presiden.

Katanya, beliau sudah beberapa kali berjumpa dan meminta menteri besar Kelantan atau mana-mana pemimpin PAS untuk menggalas jawatan sukarela itu.

"Saya gembira mendengar suara mahu menggantikan presiden Kafa. Ini yang telah lama kita harapkan, tapi bila sampai masa semua tak mahu ambil tanggungjawab ini.

"Tahun ini saya harap ada yang sanggup pikul tugas sukarela ini," katanya dalam kenyataan di Facebook, petang tadi.

Annuar mula mengambil alih pentadbiran Kafa sejak 2007 dan dilihat berjaya mengubah landskap sukan bola sepak negeri itu.

Kebangkitan skuad julukan The Red Warrior itu bermula pada 2009 selepas muncul naib juara Piala Malaysia dan Piala FA.

Malah mereka berjaya meraih tiga piala pada 2012 apabila menjulang Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Annuar berkata, mesyuarat agung Kafa boleh diadakan bila-bila masa sebelum bulan Disember ini dan pentadbiran baru wajib dimilih menggantikan exco lama yang tamat mandat masing-masing.

Beliau turut menyebut nama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob, Exco Kerjaaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Naib Presiden FAM Datuk Takiyuddin Hassan sebagai potensi pengganti.

"Saya juga berharap mesyuarat agung dapat disegerakan.Lagi cepat lagi baik kerana saya perhatikan ada yang tak sabar untuk membawa masuk presiden dan pentadbiran baru.

"Saya bersyukur kerana akhirnya ada yang mahu menyambung tugas sangat berat ini," katanya.