Kedah, JDT sama-sama hebat, 'liat'
Kehangatan perlawanan Kedah - JDT bermula sebaik saja tiupan wisel perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar ditiup pengadil
Selaku tuan rumah Kedah tidak berlengah mengatur serangan sekali gus menggembirakan penyokong mereka yang memang mengharapkan jaringan awal ke gawang pelawat.
Baddrol Baktiar akhirnya menyemarakkan keghairahan Kedah dengan jaringan pada minit kedua hasil kelekaan pemain JDT.
Kedudukan itu kemudian membawa kepada aksi lebih agresif dan panas di padang sekali gus meningkatkan tekanan buat pasukan pelawat.
Pada aksi kesembilan Liga Super malam ini skuad Helang Merah bagaimanapun gagal mengulangi kemenangan ke atas JDT seperti aksi separuh akhir pertama Piala FA16 April lalu.
Ia hampir berulang semula, sehinggalah tuah berpihak kepada anak buah Mario Gomez apabila pengadil memberikan sepakan penalti gara-gara kekasaran pemain Kedah.
Cukup beri kepuasan
Jaringan Juan Martin Lucero memberi kelegaan kepada penyokong JDT apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti di minit terakhir separuh masa pertama.
Walaupun seri bagi JDT sekurang-kurangnya mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang aksi Liga Super musim ini.
Di pihak Kedah keputusan seri 1-1 barangkali cukup untuk memberi kepuasan kepada penyokong mereka lebih-lebih lagi kerana pasukan itu berdepan penyandang juara liga musim lalu.
Beraksi di depan puluhan ribu penyokong penonton memang berjaya memberi suntikan moral buat anak buah Tan Cheng Hoe.
Mereka dilihat lebih penguasai permainan sama ada dari segi kawalan bola dan serangan bertali arus ke kubu lawan.
Namun, JDT selaku penyandang juara tetap agresif mengekang kemaraan Kedah dan tampil mengimbangi perlawanan.
Pertahanan JDT ampuh
Terdahulu, suhu memuncak apabila kekasaran pada minit ke-30 hampir mencetuskan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan namun keadaan ditenangkan pengadil.
Pada separuh masa kedua, Kedah meneruskan momentum prestasi mereka namun taktik hantara pendek seperti yang diamalkan sebelum ini kurang ketara.
Sebaliknya Cheng Hoe mengatur strategi dengan menyusun gerakan dari bahagian sisi berbanding tengah.
Kedah mempunyai beberapa peluang baik di kawasan kotak penalti lawan tetapi gagal disempurnakan kerana keampuhan pertahanan JDT.
Sementara skuad Harimau Selatan pula lebih banyak membuat serangan balas dan setiap percaturan mereka mudah diatasi pemain Kedah.
Malah, beberapa aksi tangkas penjaga gol tuan rumah, Mohd Farhan Abu Bakar kali ini boleh dipuji.
Dalam perlawanan lain Kelantan menang bergaya di laman sendiri dengan menewaskan Terengganu 3-0, manakala Selangor diikat tanpa jaringan dengan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Di Stadium Negeri, Kuching turut menyaksikan keputusan seri 1-1 apabila Sarawak sekadar berjaya menyaingi kehebatan Pahang.

