Leicester City harap tuah di Old Trafford
Tengah hari esok (waktu England) Leicester City akan berkunjung ke Old Trafford untuk cuba menjadikan stadium kebanggaan Manchester United itu pentas keramat mereka.
Jika kena caranya Old Trafford akan menobatkan - untuk kali pertama dalam tempoh 132 tahun - Leicester City sebagai juara EPL.
Selepas Tottenham Hotspur gagal mencapai kemenangan minggu lalu peluang terbuka luas untuk The Foxes diangkat sebagai juara EPL tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir mereka 15 Mei ini - jika berjaya menumpaskan United.
Sebenarnya ia bukanlah kali pertama Old Trafford menjadi padang penentu kejuaraan EPL.
Malam esok - waktu Malaysia, atau tengah hari di England - adalah kali kelima Old Trafford boleh menobatkan sebuah kelab sebagai juara.
Bagaimanapun daripada lima perlawanan itu, tiga daripada membabitkan United di bawah kendalian Alex Ferguson.
Setanding Arsenal
Pada musim 1998/1999, gol jaringan David Beckham dan Andrew Cole telah menewaskan Spurs sekali gus meranapkan impian Arsenal pada hari terakhir musim itu.
Sedekad kemudian, United menjulang kejuaraan tiga musim berturut-turut dengan keputusan seri tanpa jaringan di gelanggang keramat mereka itu selepas seri tanpa jaringan dengan Arsenal.
Dan kali ketiga The Red Devil menjulang kejuaraan dengan mengalahkan Aston Villa pada musim 2012/2013 yang menyaksikan Robin van Persie melakukan hatrik.
Pada musim 2001/2002 pula gol Sylvain Wiltord memberi kegembiraan mutlak kepada Arsenal - hanya beberapa hari selepas mereka menjulang Piala FA.
Justeru jika Leicester menang malam esok, mereka akan setanding dengan Arsenal yang meraikan kemenangan menjuarai EPL di Old Trafford pada 14 tahun lalu.
Namun, jika Leicester gagal meraih kemenangan di Old Trafford nanti, The Foxes tidak semestinya terlalu gelabah kerana mereka hanya perlu menghadapi pertemuan berikutnya - menentang Everton dan Chelsea.
Bagaimanapun ia bergantung kepada prestasi Spurs yang perlu mengatasi Chelsea pada awal pagi Selasa ini. Jika The Blues tumbang, ia adalah kemenangan pertama Spurs ke atas Chelsea sejak 1990.

