Leicester City terlepas peluang pertama mereka bertakhta di puncak EPL lebih awal selepas sekadar seri dengan Manchster United di Old Trafford malam tadi.

The Foxes boleh memuktamadkan kejayaan terhebat di liga Inggeris sejak kelab itu ditubuhkan 132 tahun jika mengalahkan United.

Ketika United menguasai kira-kira 70 peratus kawalan bola dan Leicester bermain dengan hanya 10 orang - kerana Danny Drinkwater dibuang padang kerana kad kuning kedua - kelab milik hartawan Thailand itu masih mampu mencuri satu mata.

Peluang kedua bakal hadir awal pagi Selasa (jam 3 pagi, 3 Mei) jika pencabar terdekat Leicester, Tottenham Hotspur, gagal mengalahkan Chelsea di Stamford Bridge.

Leicester kini berada di tempat teratas dengan 77 mata manakala Spurs 69 mata.

Jika Spurs gagal menjinakkan The Blues - dan data di atas kertas memang memihak kepada Chelsea - Leicester tidak perlu bersusah payah pada dua perlawanan terakhir mereka untuk mendapatkan mata.

Leicester akan bertemu Everton pada 12.30 pagi 8 Mei ini dan menutup musim kali ini dengan bertemu Chelsea pada 10 malam (waktu Malaysia) 15 Mei ini.

Dapat keyakinan tambahan

Malam tadi anak buah Claudio Ranieri berjaya menyamakan kedudukan selepas Anthony Martial menjaringkan gol untuk United di minit kelapan.

Leicester mendapat gol penyamaan di minit ke-17 melalui tandukan Wes Morgan.

Namun di sebalik detik bersejarah mungkin terlakar esok, Ranieri berkata dia tidak dapat menonton perlawanan Spurs - Chelsea itu.

Sebabnya dia akan berada dalam kapal terbang untuk kembali ke England ke negaranya, Itali selepas membuat lawatan singkat menziarahi ibunya yang kini berusia 96 tahun.

"Saya mahu menonton perlawanan itu tetapi rasanya saya dalam penerbangan dari Itali. Ya, memang sukar untuk saya menyaksikan perlawanan itu.

"Mungkin saya akan mendapat keputusan selepas mendarat," katanya kepada Sky Sports.

Ranieri berlepas pulang ke Itali selepas perlawanan malam tadi dan kembali ke England pada jam 7 malam (waktu tempatan).

Mengenai keadaan cemas ketika United mendahului, Ranieri berkata dia tetap tenang dan yakin anak buahnya mampu memberi tindak balas yang perlu.

Dan memang itulah yang berlaku - walaupun tanpa kelibat penyerang berbisa mereka Jamie Vardy yang menjalani hukuman gantung perlawanan.

"Gol Morgan memberi kami keyakinan demi keyakinan," katanya.