Ida si 'nenek besi' cipta rekod 100 meter
Dia menduduki tempat terakhir dalam larian 100 meter di Philadelphia semalam, namun Ida Keeling tetap tersenyum lebar dan amat bangga.
Bakal berusia 101 tahun beberapa minggu lagi, Ida mencatat rekod larian terpantas 100 meter - untuk kategori usianya.
Ida memang mempunyai alasan kukuh untuk berasa amat gembira dengan pencapaian berkenaan.
Majalah atas talian Runner’s World melaporkan Ida menamatkan larian sejauh 100 meter itu dengan catatan masa satu minit 17.33 saat.
Sebagai perbandingan rekod dunia bagi larian 100 meter - dilakukan oleh Usain Bolt - ialah 9.58 saat.
Dalam pertandingan semalam Ida menyertai larian itu bersama 80 peserta lain.
Kali pertama Ida menyertai larian terbuka adalah ketika dia berusia 67 tahun.
Sejak itu, kata anak Ida, Shelley Keeling, wanita terbabit aktif berlatih setiap hari sebagai persediaan menyertai pertandingan larian.
Petua Ida untuk menjaga kesihatanya ialah, sentiasa memilih makanan "yang berkhasiat", bukan "yang lazat".
Ida pula berkata dia gembira dengan pencapaiannya dan bangga kerana mampu menjadi contoh kepada orang lain.
"Ini menunjukkan anda boleh mencapai cita-cita dan menjadi diri sendiri," katanya.
Menuruut The Philadelphia Inquirer, selepas larian berakhir Ida tidak terduduk lesu atau kepenatan sebaliknya menunjukkan kemampuannya melakukan tekan tubi di saksikan kira-kira 40,000 penonton.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki berusia 105 tahun mencatat masa 42.22 saat untuk larian 100 meter.
Namun Ida tetap dianggap unggul dalam kelasnya yang tersendiri.
"Sayangi diri kamu. Buat apa yang kamu harus buat, bukan buat apa yang kamu rasa kamu mahu. Ambil makanan kerana khasiatnya, bukan kerana lazatnya. Bersenamlah sekurang-kurangnya sekali sehari," katanya.

