Pengurus Liverpool, Juergen Klopp mengungkapkan kegembiraannya selepas The Kop melangkah ke final Liga Europa dengan menewaskan Villarreal, awal pagi tadi.

Pastinya, jurulatih dari Jerman itu menabur pujian tinggi buat barisam pemainnya yang mencatat kemenangan 3-0 pada aksi separuh akhir kedua itu.

"Malam yang sangat luar biasa. pasukan saya bermain dengan penuh kebijaksanaan. Kami akan pergi ke Basel dengan 50, 60 atau 70,000 penyokong Liverpool," katanya seperti dilaporkan BT Sport selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan akhir nanti, Liverpool akan berdepan cabaran penyandang juara dua musim berturut-turut iaitu Sevilla di Stadium St Jakob-park, Basel, di Switzerland.

"Basel adalah kota yang menyenangkan dan berhampiran rumah saya. Mari kita ke sana (Basel), wujudkan atmosfera dan kami akan kembali melakukan yang terbaik.

"Kami memamg layak ke pentas final dan saya berpuas hati dengan barisan pemain," katanya.

Terdahulu, pada perlawanan separuh akhir pertama, Liverpool menelan kekalahan 0-1 di gelanggang Villarreal.

Bagaimanapun, pertemuan kedua di Stadium Anfield ternyata membangkitkan kemenangan yang meyakinkan buat Liverpool.

"Pada separuh masa kedua, strategi kami adalah terus bermain emosional dan idea. Akhirnya, perlawanan berakhir dengan luar biasa.

"Malam ini sungguh sukar dipercayai. Kami juga perlu wujudkan suasana seperti ini di Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, rekod Liverpool menyaksi kelab itu sudah menjulang tiga gelaran Liga Europa pada 1973, 1976 dan 2001.