Dari segi gah dan glamor mungkin Liverpool boleh berbangga tetapi di atas padang imej begitu tidak menjadi The Kop akan menumbangkan Sevilla dalam perlawanan akhir piala Liga Europa pada 18 Mei ini.

Awal pagi Jumaat kedua-dua pasukan itu sah melangkah ke perlawanan akhir dengan perbezaan dua gol ke atas lawan masing-masing.

Liverpool menang mengatasi Villarreal 3-0 menjadikan agregat 3-1, manakala Sevilla mengalahkan kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk 3-1 selepas mereka seri tanpa jaringan pada separuh akhir pertama.

Sevilla memuktamadkan kemenangan melalui dua jaringan Kevin Gameiro dan tambahan satu gol daripada Mariano.

Walaupun mengikut sejarah Liverpool lebih berjaya dalam saingan liga kedua paling elit di Eropah, perlu diingat Sevilla juga tidak kalah hebatnya.

Jika dilihat kepada saingan Liga Europa bagi tempoh sedekad lalu. Kelab bimbingan Unai Emery itu muncul juara pada 2006, 2007, 2014 dan 2015.

Ini pula data yang sepatutnya lebih membimbangkan Liverpool: Kemenangan terbesar Sevilla dicatat ketika mereka berdepan kelab Inggeris.

Pada perlawanan akhir 2006 Sevilla membenam Middlesbrough dengan jaringan 4-0 dan ia kekal rekod gol terbanyak sejak 1998.

Pada masa sama belum ada mana-mana kelab Eropah menjadi juara piala itu tiga kali berturut-turut sejak Bayern Munich melakukannya pada 1974, 1975 dan 1976.

Tinggal 12 hari lagi untuk Sevilla boleh menafikan hakikat itu. Sebagai kelab yang menjuarai piala ini pada 2014 dan 2015 Sevilla boleh mengubah sejarah dengan memangsakan Liverpool di Stadium St Jakob Park di Basel, Switzerland.